suria

Hasil kerjasama UPM-PERKESO, pesakit strok boleh dapatkan rawatan 24 jam pertama selepas serangan

Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (2 dari kanan) bertukar MoU dengan Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman (2 dari kiri) semasa majlis menandatangani MoU di Hospital Pengajar UPM disaksikan oleh Prof Madya Dr Muhammad Mohd Isa (kiri) dan Datuk Dr Hafez Hussain pada 25 Februari 2022.

KERJASAMA strategik diwujudkan antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan khususnya dalam bidang perubatan dan rehabilitasi.

Manfaat menerusi jalinan kerjasama ini tentu sekali akan melibatkan semua pihak termasuk pekerja yang diinsuranskan di bawah PERKESO.

Ini merangkumi kerjasama dalam bidang perubatan, rawatan rehabilitasi, intervensi neurologi, neuro-robotik, kesihatan mental, kemahiran kesihatan bersekutu, latihan vokasional, keselamatan dan kesihatan, pengurusan hilang upaya, Program Return to Work (RTW), pasaran buruh, akuakultur, pertanian dan sebagainya.

Majlis Menandatangan dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak telah dilaksanakan di Bilik Seminar, Hospital Pengajar UPM (HPUPM), Serdang, Selangor pada Jumaat.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dan turut disaksikan oleh Pengarah Hospital UPM, Prof Madya Dr Muhammad Mohd Isa dan Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Datuk Dr Hafez Hussain.

Dr Mohammed Azman berkata, kelebihan diberikan kepada pencarum PERKESO yang mengalami serangan strok awal atau masalah kesihatan lain dalam tempoh 24 jam pertama selepas serangan.

Katanya, melalui pengurusan pengesanan dan rawatan awal, kaedah yang digunakan adalah menerusi prosedur trombolisis dan trombektomi untuk mengeluarkan darah beku dalam saluran darah pesakit, disusuli dengan prosedur rehabilitasi yang intensif.

"Pengurusan rawatan awal ini dapat membantu mencegah risiko ketidakupayaan fizikal dan mental yang boleh menimpa pesakit selepas serangan strok tersebut, juga dapat membantu meningkatkan lagi tahap kesembuhan pesakit, sekaligus membolehkan mereka untuk kembali bekerja dengan lebih awal," katanya.

Malah, kepada 50 pencarum awal PERKESO yang layak akan dipilih melalui projek dinamakan projek rintis dengan adanya bantuan pemantauan PERKESO, HPUPM dan beberapa hospital Kementerian Kesihatan (KKM) seperti Hospital Kajang, Hospital Serdang serta Hospital Putrajaya.

"Sebenarnya, inisiatif kerjasama strategik antara PERKESO dan UPM ini telah pun bermula sejak 2021. Kerjasama ini dijalankan menerusi pelaksanaan program rintis Program Pencegahan Awal Strok antara PERKESO, HPUPM dan KKM.

"PERKESO bersama HPUPM juga akan bekerjasama untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan rawatan rehabilitasi kepada Orang Berinsurans PERKESO yang dirujuk ke hospital ini.

"Usaha ini dilihat dapat membantu memperluas perkhidmatan pemulihan rehabilitasi PERKESO menerusi Pusat Rehabilitasi PERKESO yang sememangnya cukup efektif, canggih dan berkualiti kepada pencarum ditimpa bencana atau masyarakat yang memerlukan rawatan berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Mohd Roslan berkata, menerusi MoU berkenaan, UPM dan PERKESO berusaha mengambil langkah bagi menggalak dan memupuk serta mewujudkan kerjasama dan perkhidmatan rehabilitasi kepada golongan diinsuranskan di bawah PERKESO dalam usaha memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.

Jelasnya lagi, persefahaman ini mewujudkan kerjasama penyelidikan dan pembelajaran bagi mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan kakitangan dalam bidang perubatan rehabilitasi, intervensi neurologi, kemahiran kesihatan bersekutu, robotik dan lain-lain.

"UPM dan PERKESO juga akan melaksanakan promosi bersama mengenai maklumat dan aktiviti dalam laman sesawang masing-masing serta apa-apa bidang kerjasama lain berkaitan yang akan dipersetujui kelak.

"Skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberi impak signifikan, terutama dalam mengatasi masalah utama rawatan kesihatan, iaitu kos rawatan pesakit.

"Dengan adanya pembiayaan daripada skim perlindungan PERKESO, saya percaya capaian pesakit HPUPM akan bertambah luas, sejajar fungsi HPUPM dan UPM iaitu memanfaatkan ilmu untuk kesejahteraan di mana peningkatan kualiti hidup masyarakat ini sejajar dengan fungsi Hospital Pengajar UPM," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain