BANJIR yang melanda negeri Pantai Timur terus menjadi topik utama paparan berita sejak Ahad. Selain laporan mengenai bantuan terhadap mangsa banjir, kisah kematian akibat bencana itu turut meruntun hati netizen. ARTIKEL BERKAITAN: Ervan Rizuan lupakan bisnes, guna duit hasil live TikTok bantu mangsa banjir - “Jangan panik, bantuan on the way” Dalam perkembangan terbaharu, seorang pelajar tahfiz berusia 15 tahun menjadi korban ketiga banjir di negeri Kelantan apabila ditemukan lemas di Kampung Kedapan, Banggol Kulim, Rantau Panjang pada Isnin. Hawari Kaday, 15, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras sekitar jam 8.30 malam pada Ahad. Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mayat Hawari ditemukan lemas oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta Unit Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). "Mayat mangsa ditemui pada jam 3.30 petang. Selepas ditemui mayat mangsa terus dibawa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk pemeriksaan lanjut," katanya. Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas. Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh badan mendapati tiada sebarang kecederaan yang dialami dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Sinar Harian melaporkan seorang warga emas dan remaja menjadi korban banjir di negeri ini. Mangsa korban pertama banjir dikenali sebagai Mohamad Ishak, 70, yang terjatuh ke dalam Sungai Galas di Pengkalan Lan, Kampung Kuala Gris, Kuala Krai pada Ahad. Selepas itu,seorang remaja menjadi mangsa kedua banjir di negeri ini apabila ditemukan lemas selepas tergelincir dan dihanyutkan arus ketika menunggang basikal di tepi tali air di Kampung Talang Kadok, Kota Bharu pada Ahad. - Sinar Harian. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI