suria

Geran Impak Sosial Star 2022 dibuka untuk permohonan! Peluang NGO, perusahaan sosial realisasi idea murni

Geran Impak Sosial Star tahunan kini dibuka untuk permohonan.

ISTIMEWA untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial, idea-idea murni anda mungkin boleh direalisasikan menerusi Geran Impak Sosial Star 2022.

Jika anda mempunyai idea projek yang berkesan untuk dikongsi, Geran Impak Sosial Star tahunan kini dibuka untuk permohonan.

Selepas kitaran geran pertama yang berjaya pada tahun lalu, Yayasan Star, cabang amal Star Media Group sekali lagi menawarkan geran sama untuk menyokong projek sosial demi membantu kehidupan masyarakat tempatan dan alam sekitar yang lebih baik.

Pemberian ini adalah selari dengan usaha berterusan Yayasan Star dalam menyokong organisasi sosial yang layak untuk membawa kesan jangka panjang kepada komuniti di luar sana.

NGO dan perusahaan sosial dengan idea projek berkesan yang sejajar dengan lima bidang tumpuan Yayasan Star digalakkan untuk mengemukakan permohonan mereka untuk Geran Impak Sosial Star.

Bidang tumpuan Yayasan Star ialah pembangunan komuniti, pendidikan, akses kepada keperluan asas dan infrastruktur, perlindungan alam sekitar, serta kesihatan dan kesejahteraan.

SSIG 2022 Infographic (10 × 19 cm) (1)

Projek-projek tersebut boleh dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengeluaran geran. Setiap saiz geran boleh mencapai maksimum RM50,000 bergantung kepada kerumitan projek.

Pemohon yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai geran atau mengemukakan cadangan mereka dan dokumentasi sokongan yang berkaitan melalui bit.ly/starsig bermula 1 Mac hingga 17 April 2022.

Tahun lepas, empat organisasi telah dianugerahkan geran bernilai RM50,000 setiap satu untuk projek komuniti mereka di seluruh Malaysia.

Projek yang dibiayai terdiri daripada latihan keusahawanan untuk komuniti miskin bandar, kaedah pertanian mampan untuk petani luar bandar, latihan vokasional untuk orang kurang upaya mental dan pemerkasaan wanita.

Sejak penubuhannya pada 2004, Yayasan Star telah menyumbangkan sejumlah RM20.6 juta kepada lebih 360 organisasi sosial.

Ia juga telah menjalankan Program Dana Perubatan sejak 2015 untuk membantu individu yang kurang bernasib baik yang menghidap penyakit kronik, dengan menaja rawatan dan penjagaan perubatan.

Untuk maklumat lanjut tentang kerja Yayasan Star dengan komuniti, lawati starfoundation.com.my.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain