suria

Dugaan calon SPM... bapa maut dirempuh kereta selepas hantar anak ke sekolah

Mangsa dipercayai baru sahaja menghantar anak ke sekolah untuk menduduki SPM.

DUGAAN buat seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila bapanya maut dalam kemalangan di di Kilometer 6, Jalan Machang- Pasir Puteh dekat Machang, pada awal pagi Rabu.

Bapa pelajar itu yang merupakan pemandu lori maut dalam satu kemalangan jalan raya dipercayai selepas menghantar anak lelakinya ke sekolah untuk menduduki peperiksaan SPM.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Zainudin Ab Samat, 56, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami parah pada bahagian kepala dan badan.

ARTIKEL BERKAITAN: SPM: 407,097 calon duduki ujian bertulis mulai 2 Mac

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menghantar anaknya di pintu pagar sekolah tersebut dan terus melintas dari kiri ke kanan jalan untuk kembali ke lorinya.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, sebuah kenderaan jenis Volvo dipercayai gagal mengelak hingga berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh di lokasi kemalangan.

"Mangsa tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, pemandu kereta Volvo berusia 54 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan saringan ujian kencing juga negatif.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain