PERBICARAAN 1MDB yang disambung semula pada Selasa (1 Mac) di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS), menyaksikan peguam pembelaan menyerang kredibiliti saksi utama pendakwaan dengan menumpukan pembohongannya mengenai status perkahwinan. Pada hari pertama keterangan balasnya, bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner mengakui dia memalsukan dokumen pada 2014 untuk menipu Kimora Lee Simmons, supaya personaliti televisyen terkenal AS itu bersetuju untuk berkahwin dengannya. Leissner memberi keterangan bahawa dia tidak dapat mengingati dengan tepat perbualan bersama Simmons apabila dia menunjukkan kepada wanita itu surat cerai palsu di rumahnya di Beverly Hills pada 2014. ARTIKEL BERKAITAN: SPRM cari RM41.9 juta dikaitkan dengan Leissner, Rohana - Azam Baki "Saya hanya berikan dokumen itu kepadanya, dan itu sahaja," kata Leissner. Leissner mengakui dia sudah dua kali berkahwin secara rahsia dengan dua wanita pada masa sama dan sekurang-kurangnya pernah sekali memalsukan sijil perceraian bagi mengelirukan wanita yang mahu dikahwini. "Jadi awak telah berkahwin dengan dua wanita pada masa yang sama?" peguam bela Marc Agnifilo bertanya. "Ya," Leissner menjawab. Leissner memberi keterangan terhadap bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng bahawa dia dan Ng bersetuju untuk mengambil berpuluh-puluh juta dolar dalam bentuk sogokan sebagai pampasan untuk peranan mereka dalam skim AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) untuk mencuri dana 1MDB. Pihak pembelaan berhujah bahawa pendakwa raya menjadikan Ng sebagai kambing hitam atas 'kegagalan korporat' di Goldman yang membolehkan penipuan besar yang didalangi oleh Leissner dan Low Taek Jho, atau Jho Low. Leissner, 52, mengaku bersalah pada 2018 kerana membayar berjuta-juta dolar sebagai rasuah kepada pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi. Dia diperintahkan membayar AS$43.7 juta sebagai sebahagian daripada pengakuan bersalahnya dan memberi keterangan terhadap Ng Leissner dalam keterangannya pada Selasa juga menambah, ketika penyiasatan ke atas 1MDB dilakukan pada 2017, Jho Low menggalakkannya untuk berdiam diri dan mendakwa dia mendapat sokongan daripada sekutu bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menyelesaikan siasatan ke atas rompakan dana daripada 1MDB. Leissner berkata Jho Low mendakwa dia telah bertemu dengan menantu Trump, Jared Kushner di China untuk cuba menjadi perantara perjanjian, tetapi saksi menjelaskan dia tidak mengetahui secara langsung bahawa pertemuan itu sebenarnya berlaku. Ng adalah satu-satunya jurubank Goldman yang dibicarakan dalam skandal 1MDB. Prosiding di mahkamah persekutuan Brooklyn dijangka berlangsung beberapa minggu. Lelaki berusia 49 tahun itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan, termasuk bersubahat untuk mencuci wang dan melanggar undang-undang anti-rasuah. Pendakwa raya persekutuan berkata penyelewengan dana itu dibuat dengan perbelanjaan mewah untuk pembelian barang kemas, hasil seni, kapal layar super dan hartanah mewah. Malah, ia turut membantu membiayai filem Hollywood, termasuk filem Leonardo DiCaprio pada 2013 'The Wolf of Wall Street'. - AP Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI