SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha untuk mendapatkan kembali kira-kira AS$10 juta (RM41.9 juta) yang didakwa dikaitkan dengan Tim Leissner dan bekas ketua pegawai eksekutif kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd Datuk Rohana Rozhan. Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan masih dijalankan dan usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan balik wang serta aset terbabit. ARTIKEL BERKAITAN: Polis tidak siasat Rohana buat masa ini, kata Bukit Aman ARTIKEL BERKAITAN: Dihalang buat transaksi... SPRM arah beku aset, akaun Rohana “Kami sudah memanggil Rohana untuk merekodkan kenyataannya dan telah mengeluarkan perintah pembekuan ke atas aset dan wangnya. “Jumlah yang kami cari untuk dapatkan balik adalah kira-kira AS$10 juta. “Individu lain akan dipanggil untuk membantu siasatan, saya tidak boleh kongsi maklumat lanjut mengenai perkara ini pada masa sekarang. “Kami memerlukan bantuan Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Amerika Syarikat (AS). "Jika kami perlu memanggilnya (Rohana) semula, kami akan," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Selasa (1 Mac). SPRM memanggil Rohana selepas Tim Leissner, bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc memberitahu Mahkamah Persekutuan AS semasa perbicaraan Roger Ng pada 22 Februari bahawa dia memberi bekas CEO Astro sebuah rumah bernilai AS$10 juta di London. Ng dituduh bersubahat untuk mencuci wang dan melanggar undang-undang anti-rasuah melibatkan dana 1MDB. Minggu lalu, SPRM mengeluarkan perintah pembekuan ke atas aset dan akaun bank milik Rohana selepas Leissner mendakwa rumah itu dibeli menggunakan wang daripada 1MDB. - The star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI