suria

Tuntutan waris Sultan Sulu tak masuk akal, rakyat Sabah diminta bertenang - Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor. Foto: Bernama

SABAH adalah sebuah negeri yang berdaulat di bawah Persekutuan Malaysia dan tidak akan mengiktiraf tuntutan waris Sultan Sulu, kata Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu, Ketua Menteri berkenaan menggesa rakyat Sabah agar bertenang dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pasukan undang-undang kerajaan negeri dan persekutan bagi mengendalikan isu tuntutan bernilai RM62.59 bilion yang dibuat waris Sultan Sulu menerusi prosiding timbang tara di Paris, Perancis.

ARTIKEL BERKAITAN: 19 orang "datuk bandar" dari Selatan Filipina didakwa terlibat dalam plot baharu untuk menawan Sabah

"Ia adalah satu tuntutan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam persekutuan Malaysia tidak boleh dipersoalkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat (4 Mac).

Pada Rabu, Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama memaklumkan tidak mengiktiraf tuntutan pihak yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II menerusi prosiding timbang tara antarabangsa di Perancis.

Terdahulu pada 1 Mac, penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa mengarahkan kerajaan Malaysia membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris sultan Sulu yang membuat tuntutan itu.

Waris berkenaan membuat tuntutan tersebut selepas Malaysia didakwa berhenti membayar wang serahan tahunan RM5,300 kepada waris Sultan Sulu sejak 2013, yang mana ia melanggar perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik Syarikat British Utara Borneo. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain