suria

Ambulans ditahan elak bertembung konvoi - Polis

Polis menahan ambulans bagi mengelakkan pertembungan dengan konvoi VVIP.

TINDAKAN dua anggota polis menahan sebuah ambulans Sabtu lalu bagi mengelakkan pertembungan dengan konvoi orang kenamaan (VVIP).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata demikian bagi mengulas video berdurasi 46 saat yang tular di media sosial.

Beliau berkata, dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) JBU ketika itu bertugas mengawal lalu lintas sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh polis trafik dituduh halang ambulans sebab utamakan konvoi VVIP, betul ke nyawa rakyat dah tak bernilai?... apa kata saksi, petugas medik

"Ambulans yang datang dari Jalan Danga Bay menghala ke Skudai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rupiah berkata, dua anggota polis terbabit membuat penilaian dari setiap sudut keselamatan, pada masa sama konvoi berkenaan sudah melalui jalan utama lebih awal untuk ke lokasi.

"Sekiranya diberikan laluan hijau kepada ambulans yang datang dari susur jalan itu, ia akan memberi risiko yang besar kepada konvoi dan ambulans.

"Anggota polis berkenaan memberi laluan hijau kepada ambulans untuk meneruskan perjalanan selepas konvoi itu berlepas," katanya.

Menurut Rupiah, satu laporan polis dibuat berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan komen dan maklumat yang tidak benar serta tidak bertanggungjawab melalui kaedah tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarkaat," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain