suria

Seorang lagi mangsa insiden tanah runtuh maut, ditemukan di luar rumahnya

Operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa diteruskan.

MANGSA tanah runtuh ketiga ditemukan pada pukul 10.28 malam menerusi operasi mencari menyelamat yang dilakukan sejak jam 6 petang, Khamis.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan mayatnya dihantar ke hospital untuk proses pengecaman keluarga.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, mangsa ketiga ditemukan di kawasan luar rumahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu kontraktor Air Selangor tertimbus ketika ambil gambar - Saksi insiden tanah runtuh Ampang

"Tanah runtuh menyebabkan rumah mangsa ranap sepenuhnya dan beralih dari kawasan tapak (binaan) yang sebenar.

"Kita mengalami sedikit kesukaran kerana sasaran adalah di tempat lain tetapi mangsa berada di kedudukan lain kerana pergerakan tanah yang berlaku.

"Ketiga-tiga mangsa berada di rumah masing-masing," ujarnya kepada pemberita.

Mengulas tentang baki mangsa yang belum ditemui, ujar beliau, kedua-dua mangsa berbangsa India yang mana seorang daripadanya adalah pekerja Air Selangor manakala seorang lagi adalah penghuni rumah ketiga yang tertimbus.

Tambahnya, keadaan tanah pada masa ini belum ada pergerakan dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat penelitian secara lebih terperinci pada esok hari (Jumaat).

"Sekarang kita fokus pada operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa," jelasnya.

Dalam kejadian itu, mangsa pertama berjaya dikeluarkan jam 6.54 petang tadi dengan hanya mengalami cedera ringan manakala mangsa kedua yang dipercayai pasangannya ditemui jam 7.53 malam namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.15 malam.

Pasukan penyelamat kini berusah mengesan dua lagi mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus membabitkan penduduk perumahan itu dan seorang pekerja kontraktor syarikat penyelenggaraan Air Selangor.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain