SEJARAH tercipta apabila pembedahan kembar siam pramatang pertama berjaya dilakukan di Malaysia. Menerusi perkongsian Facebook Hospital Tunku Azizah (HTA), kembar siam pramatang seberat 2.7 kilogram (kg) itu berjaya dipisahkan pada Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Kembar kacak gembira bertugas di PPV! Kongsi hobi sama tapi ada satu perkara yang mereka ‘pantang’ - “Kami lain dari kembar lain” Menurut Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA, Datuk Dr Zakaria Zahari, pembedahan seumpamanya biasanya dilakukan pada umur tiga hingga enam bulan. Namun disebabkan komplikasi ‘extrauterine twin-to-twin transfusion syndrome’, pasangan ini terpaksa menjalani pembedahan segera pada umur 17 hari. Bayi kembar lelaki itu dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan, dan dirujuk oleh Pakar Neonatologi HRPB, Dr. Maneet Kaur Ranjuth Singh untuk rawatan lanjut di HTA. Pembedahan berisiko tinggi disertai Dr Zakaria, enam lagi Pakar Bedah Kanak-Kanak dari seluruh Malaysia dan pasukan bius kanak-kanak yang diketuai oleh Dr Intan Zarina Fakir dan Dr Ruwaida Isa, beserta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak. Ini merupakan pembedahan ketiga untuk pasangan bayi kembar siam di HTA. Pasangan kembar itu berjaya dipisahkan dalam masa 66 minit tanpa komplikasi besar. Kembar siam jenis ‘Omphalophagus’ ini didapati berkongsi bahagian hati (liver) dan organ-organ lain didapati normal. Proses persediaan untuk pembedahan dimulakan seawal 7.30 pagi dan kedua-dua bayi dihantar balik ke NICU pada jam 2 petang. Dengan sokongan pasukan Neonatologi yang diketuai Dr Neoh Siew Hong dan jururawat NICU HTA, kedua-dua bayi itu diharap dapat sembuh dengan sebaik-baiknya. Untuk rekod, semenjak pembukaan HTA, ini merupakan pembedahan ketiga untuk pasangan bayi kembar siam. Dalam pada itu, rata-rata netizen di ruangan komen turut menzahirkan rasa syukur atas kelancaran pembedahan itu. Netizen turut menitipkan doa agar dua bayi berkenaan dapat membesar dengan sihat. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI