KES suami gagal membayar nafkah kepada isteri dan anak-anak bukanlah satu perkara baharu. Jika dibiarkan berterusan, ia sudah tentu akan memberi impak buruk khususnya untuk anak-anak yang membesar dalam keadaan serba kekurangan. ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi kes tunggakan nafkah 10 tahun, sampaikan mesej anak tak dibalas... tak sangka ramai dedah alami nasib sama - "Happy birthday ayah..." Terbaharu, kerajaan akan menyekat atau membekukan akaun bank golongan suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu dibuat kerajaan bagi memastikan kepentingan dan hak wanita dapat terus dijaga kerana lazimnya bekas isteri sukar untuk mendapatkan nafkah selepas perceraian. Katanya, menerusi inisiatif itu, bayaran terus nafkah kepada bekas isteri akan dilakukan dari bank suami. "Apabila kes mahkamah dimenangi wanita dalam tuntutan nafkah, sukar suami untuk bayar dan mereka ingkar perintah mahkamah. "Jadi apabila kita bekukan, jika mahkamah perintahkan bayaran RM1,000 sebulan jadi bank akan diarahkan untuk bayar terus kepada isteri," katanya. Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Naib Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Kuala Lumpur pada Sabtu. Sementara itu, bagi menjaga dan menghargai peranan wanita, Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa kerajaan memberi kelonggaran kepada isteri yang kematian suami dibenarkan wanita bekerja dari rumah sehingga tamat tempoh iddah. Katanya, kerajaan juga memberi sebanyak 30 peratus kuota wanita dalam Lembaga Pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC). - Sinar Harian. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI