suria

Polis siasat sumber benih pokok ganja penyanyi nasyid

Pokok ganja yang terdapat di rumah penyanyi nasyid.

KEWUJUDAN sumber benih atau anak pokok ganja yang ditanam di kediaman seorang bekas penyanyi nasyid yang juga komposer terkenal di Kota Damansara, Kuala Lumpur menjadi persoalan pihak berkuasa.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, soal siasat masih dijalankan sama ada suspek memperolehnya daripada medium dalam talian atau pun pembelian menerusi individu tertentu.

ARTIKEL BERKAITAN: Artis nasyid popular berdepan hukuman gantung, 17 pokok ganja ditanam dalam rumah

Menurutnya, kes berkenaan masih lagi dalam siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Setakat ini siasatan memfokuskan terhadap tangkapan terlebih dahulu dan tidak melibatkan individu lain.

"Kita juga akan meneliti lebih lanjut untuk mengetahui sama ada suspek mendapatkan benih ganja itu daripada pembelian online atau individu lain," katanya pada Sabtu.

Serbuan polis pada Khamis bertindak menahan suspek berusia 47 tahun itu bersama 17 pasu pokok ganja, yang dipercayai ditanamnya sejak dua bulan lalu.

Selain itu, polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

Mohamad Fakhrudin dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja). - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain