suria

[VIDEO] Biadab hina siswa B40... MPP UiTM desak pengurusan universiti bertindak tegas terhadap pensyarah viral

RAKAMAN tular memaparkan seorang pensyarah yang mengherdik pelajar lelaki kerana tidak memiliki komputer ternyata mengundang kecaman ramai.

Malah, netizen turut menyuarakan saranan agar pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil tindakan tegas terhadap Profesor Dr Ts Roshana Takim atas tindakan yang dilakukannya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Panas, panas! Pensyarah suruh kakak pelajar B40 gadai gelang emas, bengang sebab tiada komputer... ini reaksi pantas Syed Saddiq

Dalam perkembangan semasa, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia sesi 2021/2022, Rasydan Mohd Hassan turut menyelar tindakan pensyarah berkenaan.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah, Profesor Dr Ts Roshana Takim di dalam video tular malam tadi merupakan satu tindakan luar norma dan tidak beretika terhadap seorang mahasiswa.

"Sejarah UiTM ini juga dibina atas dasar untuk membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan Bumiputera untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi. Kenyataan menghina dan memperlekeh golongan B40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pihak," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis pagi.

Tambah Rasydan, dia mewakili keluarga MPP UiTM turut mendesak agar pengurusan tertinggi insitut pengajian itu mengambil tindakan segera ke atas ahli akademik berkenaan atas tindakan biadabnya.

"Saya mewakili seluruh keluarga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan yang wajar dan selayaknya kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti keramat ini.

"Pensyarah tersebut perlulah memahami keadaan negara yang sedang berdepan dengan situasi pandemik yang menyebabkan hampir semua rakyat Malaysia berhadapan dengan keadaan ekonomi tidak stabil.

"Manifestasi yang sering disuarakan oleh pengurusan universiti bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlulah dizahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan juga kepada mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini," ujarnya lagi.

Untuk rekod, video memaparkan pensyarah tersebut memarahi pelajarnya ketika sesi pembelajaran maya tular di Twitter sejak Selasa malam.

Selain meminta kakak pelajar tersebut menjual gelang emas untuk membeli komputer, kata-kata pensyarah tersebut yang seolah-olah menghina golongan B40 turut mengundang kemarahan netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain