suria

Padah hina siswa B40 tiada komputer, menteri minta pihak universiti beri penjelasan isu pensyarah viral

Noraini mahu pihak UiTM membuat penjelasan berhubung isu berkenaan.- fotoBERNAMA.

VIDEO tular seorang pensyarah yang memarahi mahasiswa gara-gara tidak memiliki komputer meraih perhatian segenap lapisan masyarakat.

Tidak terkecuali tentunya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mahu pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat penjelasan berhubung isu berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Biadab hina siswa B40... MPP UiTM desak pengurusan universiti bertindak tegas terhadap pensyarah viral

ARTIKEL BERKAITAN: Panas, panas! Pensyarah suruh kakak pelajar B40 gadai gelang emas, bengang sebab tiada komputer... ini reaksi pantas Syed Saddiq

"Saya ambil maklum mengenai isu dan video yang tular ini.

Saya telah berhubung dengan pihak @uitmofficial untuk meminta penjelasan mereka," ujar Noraini menerusi ciapan di Twitter pada Rabu pagi.

Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia sesi 2021/2022, Rasydan Mohd Hassan turut menyelar tindakan pensyarah berkenaan.

Rasydan yang mewakili keluarga MPP UiTM turut mendesak agar pengurusan tertinggi insitut pengajian itu mengambil tindakan segera ke atas ahli akademik berkenaan atas tindakan biadabnya.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah, Profesor Dr Ts Roshana Takim di dalam video tular malam tadi merupakan satu tindakan luar norma dan tidak beretika terhadap seorang mahasiswa.

"Saya mewakili seluruh keluarga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan yang wajar dan selayaknya kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti keramat ini," ujarnya.

Pada Selasa malam, video memaparkan pensyarah tersebut memarahi pelajarnya ketika sesi pembelajaran maya tular di Twitter.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain