SELEPAS namanya dipetik penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang kini berdepan pertuduhan kes dadah, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya tampil bersuara. Menerusi satu kenyataan di Facebook, Syed Saddiq menjelaskan bahawa untuk meluluskan penggunaan ganja dalam bidang perubatan bukan satu tugasan yang mudah. ARTIKEL BERKAITAN: Yasin Sulaiman kirim salam kepada Syed Saddiq, bakal didakwa tanam ganja dalam rumah "Saya menerima satu laporan dan klip video tentang seorang penggiat seni yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti ganja dan dadah. "Saya tidak akan mengulas berkenaan kes ini dan akan serahkan kepada pihak mahkamah dan peguam. Saya tidak mahu mengganggu perjalanan kes," tegasnya. Syed Saddiq bagaimanapun mengulangi pendiriannya dalam isu penggunaan ganja atau kanabis. Bagaimanapun beliau berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan isu tersebut memberi perkembangan yang positif. "Ini bukan satu tugas yang mudah tetapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pastikan ada perkembangan yang baik nanti," jelasnya. Tambahnya, ketika menjadi menteri, beliau konsisten dalam menggesa kerajaan untuk membenarkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan (medical cannabis). Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah bekas menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga ada mengeluarkan beberapa kenyataan tentang kesediaan kementerian membuka ruang kajian perubatan kanabis di Malaysia. "Ia juga disambut dan diteruskan di bawah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekarang. "Keputusan dan gesaan ini dibuat kerana kita ikut fakta, data dan sains. Bukan buat sebab 'trend' atau cakap-cakap orang. "Ia boleh dijadikan sumber rawatan alternatif untuk banyak pesakit. "Saya juga pernah berbahas dalam Dewan Rakyat tentang potensi perubatan kanabis jika ia dibenarkan di Malaysia," katanya. Tambahnya, lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan dengan nilai pasaran industri mencecah RM60 bilion. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI