suria

Buluh naik harga, peniaga mungkin terpaksa tutup tempahan lebih awal... lemang terus jadi menu popular!

Peniaga mengaku terpaksa menaikkan harga buluh jualannya berikutan peningkatan kos melibatkan gaji pekerja. (Gambar Hiasan)

BAGAI tidak lengkap sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa kehadiran lemang.

Malah, menu popular zaman-berzaman yang dibuat menggunakan buluh itu terus menjadi pilihan segenap usia sehingga ke hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 4 jam di dapur, rendang dan lemang free bakal tiba ke tangan anak perantau... pemberi siap titip kad raya!

Pada tahun lalu, harga buluh lemang dijual dengan harga RM1.20 seruas, namun tahun ini ia meningkat sebanyak 20 sen kepada RM1.40 seruas.

Seorang peniaga buluh, Lailawati Ahmad, 49, dari Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Pahang, mengaku terpaksa menaikkan harga buluh jualannya berikutan peningkatan kos melibatkan gaji pekerja yang terpaksa dinaikan ekoran kesukaran mendapatkan pekerja.

"Namun pelanggan sudah memahami dan memang ada pelanggan tetap khususnya yang meminta harga dikurangkan sedikit.

"Saya anggap ia satu cabaran yang perlu dihadapi sebagai peniaga selain berusaha untuk memenuhi tempahan pada tahun ini," katanya.

lailawati

Lailawati bersama buluh lemang yang sedia untuk dihantar kepada pelanggan. (Foto: Sinar Harian)

Ujarnya, tidak sampai seminggu umat Islam berpuasa, Lailawati sudah mendapat tempahan lebih 10,000 batang dari seluruh negara setakat ini.

Sambutan menggalakkan menyebabkan dirinya mengakui gusar tidak dapat memenuhi tempahan.

"Saya jangkakan tempahan buluh kira-kira 20,000 batang pada tahun ini berikutan orang ramai teruja menyambut Aidilfitri kali ini selepas

"Tempahan buluh diterima sejak Syaaban lagi dan saya rasa mungkin pertengahan Ramadan terpaksa tutup tempahan atau mungkin lebih awal.

"Ini kerana bekalan buluh sukar diperoleh walaupun saya ada tanam sendiri di kampung dan tempat lain seluas kira-kira 0.8 hektar tapi ada yang musnah akibat banjir pada Disember lalu," katanya.

Ujarnya, selain untuk tempahan orang ramai, buluh tersebut juga untuk kegunaan sendiri kerana dia turut menjual lemang di bazar Ramadan di Lurah Semantan, Temerloh.

Dalam pada itu, Lailawati juga menanam buluh di beberapa tempat lain seperti di Bentong sejak kira-kira tujuh tahun lalu selain mendapatkan bekalan buluh liar dengan mengupah beberapa pekerja serta penduduk Orang Asli untuk mendapat bekalan.

"Untuk proses jangka panjang, saya kini sedang dalam proses semaian menerusi kaedah tut untuk bekalan buluh," tambahnya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain