suria

Dr Ahmad Samhan teringin berniaga di bazar Ramadan! Pernah jadi penjual makanan, daging unta ketika belajar di Mesir

Dr Ahmad Samhan (kanan) bersama orang Arab yang membantunya berniaga di Mesir. Gambar kecil Dr Ahmad Samhan di klinik.

MENJADI antara yang individu paling popular di TikTok, Dr Ahmad Samhan mempunyai seramai 1.2 juta pengikut di aplikasi itu.

Sebagai salah seorang yang bergelar Pencipta Pendidikan Paling Popular, beliau juga turut mempunyai ratusan ribu pengikut menerusi platform Facebook dan Telegram.

Dalam kesibukan berkongsi ilmu perubatan dan kesihatan di media sosial, Dr Ahmad Samhan Awang tetap merindui sesuatu setiap kali kedatangan Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi kisah 'ditendang' dari universiti, doktor ini akui hidup atas berkat dan harapan ibu yang ada kemahuan, imaginasi juga impian - "10 tahun lepas tak terbayang dapat bantu pesakit"

ARTIKEL BERKAITAN: Dah la cuti tak balik Malaysia, doktor bertikam lidah pula dengan Pak Arab di Makkah - "Janji setiap hari buat umrah, dapat upah"

Doktor berusia 36 tahun itu berkata, beliau merindui suasana Ramadan di Mesir ketika menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Tanta pada Ogos 2020.

"Saya sangat teruja apabila melihat suasana rakyat Mesir menyambut Ramadan. Rumah-rumah dicat, perabot dan langsir ditukar.

"Anak-anak dipakaikan dengan pakaian baharu. Jalan-jalan dipenuhi lampu-lampu (fanus). Sangat meriah, umpama masyarakat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri," katanya kepada mStar.

samhan bersama tauke daging unta

Dr Ahmad Samhan (kiri) bersama peniaga daging unta.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Samhan mengakui momen paling yang dirinduinya adalah suasana tarawih dan iktikaf, menyaksikan masjid-masjid dipenuhi para jemaah.

"Setiap hari akan pilih masjid berlainan untuk merasai nikmat bacaan imam yang membaca surah dengan qiraat yang berbeza.

"Selepas tarawih, jemaah akan bertilawah dan disambung hingga tahajud dan kemudian sahur dan solat subuh.

"Di siang hari, mereka akan berlumba-lumba untuk khatam al-Quran sebanyak mungkin di bulan Ramadan," ujarnya yang berpengalaman lebih lima tahun dalam bidang perubatan.

dr samhan ramadan 3

Dr Ahmad Samhan (tengah) bersama rakan-rakan sewaktu belajar di Mesir.

Beliau turut berkongsi berpengalaman mencari rezeki di Mesir pada Ramadan dengan melakukan pelbagai kerja sehingga tamat pengajian pada 2016.

"Macam-macam saya buat. Jual makanan, jual daging unta, air soya dan kek. Saya juga menjadi mutawif untuk jemaah umrah.

Saya sangat teruja apabila melihat suasana rakyat Mesir menyambut Ramadan. Sangat meriah, umpama masyarakat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri.

DR AHMAD SAMHAN

"Paling mencabar adalah menjual makanan sebab habis saja kelas, saya kena ke pasar. Kemudian memasak dan membungkus makanan. Saya juga buat penghantaran.

"Ada orang Arab tolong saya bungkus makanan sewaktu saya tinggal di Maarad, Tanta. Macam-macam saya jual, ada nasi kerabu, nasi tomato, mi kung fu dan nasi ayam. Malam ambil tempahan makanan, tapi pengalaman yang menyeronokkan," tambahnya.

dr samhan ramadan 4

Antara makanan yang dijual Dr Ahmad Samhan sewaktu di Mesir.

Mengimbas kembali pengalaman lebih enam tahun lalu, Dr Ahmad Samhan yang berasal dari Kelantan mengakui mempunyai keinginan untuk berniaga makanan di bazar Ramadan.

"Saya teringin juga nak jual makanan di bazar Ramadan tapi buat masa sekarang terlalu sibuk menguruskan klinik," katanya yang kini mengusahakan tiga klinik di Terengganu.

samhan mesir

Dr Ahmad Samhan merindui suasana tarawih dan iktikaf, menyaksikan masjid-masjid dipenuhi para jemaah.

Bagi bapa kepada tiga cahaya mata itu, apa yang dipelajarinya daripada pengalaman di Mesir adalah tidak mensia-siakan kehadiran Ramadan yang datang hanya sekali setahun.

"Setiap kali tiba Ramadan, kami sekeluarga akan menetapkan target yang ingin dicapai agar ia tak berlalu dengan sia-sia. Sedekah, beri makan, khatam al-Quran selain melakukan amalan-amalan lain.

"Subhanallah. Setelah dua tahun melalui Ramadan dalam suasana dilanda wabak Covid-19, tahun ini sangat berbeza. Sekarang dah boleh solat tarawih di masjid, majlis berbuka puasa di masjid dapat dibuat dan bazar Ramadan juga dibuka.

"Syukur masih dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadan pada tahun ini. Saya merancang untuk berkongsi tip kesihatan sempena Ramadan di Telegram saya secara live, beri makanan berbuka pada asnaf di samping menerapkan roh Ramadan kepada anak-anak," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain