suria

Kes ulat dalam mi, KJ arah penguatkuasaan di bazar Ramadan dipertingkat

Khairy turut menasihatkan orang ramai supaya segera mengemukakan aduan sekiranya berdepan dengan sebarang masalah berkaitan kebersihan makanan.

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menitikberatkan kebersihan makanan yang dibeli di bazar Ramadan.

Menurut Khairy, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan serta Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di kementeriannya untuk meningkatkan penguatkuasaan di bazar Ramadan di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Akak ni beli Mee Tonggek viral RM30 dengan sotong, tapi jumpa banyak ulat... Netizen syak gerai disihir, PPj dah ambil tindakan!

"Saya minta Bahagian Keselamatan Makanan meningkatkan penguatkuasaan terutama di bazar Ramadan kerana kita sudah menerima aduan," katanya.

Terdahulu pada Khamis, seorang pengguna media sosial memuat naik satu video menunjukkan beberapa ekor ulat di dalam makanannya yang dibeli dari sebuah gerai di bazar Ramadan Putrajaya.

Video itu telah menjadi tular dan mengundang perhatian pihak Perbadanan Putrajaya (PPj).

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Dr Mohd Helmi Abdul Hamid berkata, pemantauan dan pemeriksaan telah dijalankan di gerai yang dinyatakan di dalam video tersebut.

Tambahnya, PPj telah mengeluarkan notis amaran kepada pengusaha gerai yang gagal memastikan kebersihan gerai berkenaan.

"PPj akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Putrajaya untuk menguatkuasakan pemantauan, pemeriksaan keselamatan dan kebersihan di semua gerai di bazar Ramadan Putrajaya," tambah Dr Helmi.

Dalam pada itu, Khairy juga menasihatkan orang ramai supaya segera mengemukakan aduan sekiranya berdepan dengan sebarang masalah berkaitan kebersihan makanan. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain