suria

Bot karam: 3 kanak-kanak antara lima yang lemas di Semporna, dua masih hilang

Insiden berlaku apabila bot pam yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung ke Kampung Tandoan di Pulau Tandoan. Gambar hiasan

LIMA individu terdiri daripada dua wanita dan tiga kanak-kanak ditemukan lemas selepas sebuah bot pam yang membawa 20 orang penumpang karam ekoran cuaca buruk di perairan Semporna, lewat malam tadi.

Dalam insiden berkenaan, dua penumpang bagaimanapun masih hilang.

Mangsa yang lemas berusia antara setahun hingga 33 tahun ditemui serta-merta selepas bot itu terbalik di Pulau Timbun Mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki mati lemas ketika menjaring ikan, saksi nampak mangsa terkapai-kapai minta tolong

Bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih meneruskan usaha mencari dua mangsa yang hilang iaitu seorang gadis berusia 14 tahun dikenali sebagai Naranis dan seorang budak lelaki berusia enam tahun yang dikenali sebagai Aiman.

Mangsa yang hilang kedua-duanya berasal dari Kampung Sungai Nakit, Semporna.

Pengarah APMM Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, 13 penumpang lain berjaya diselamatkan sejurus kejadian.

Kesemua penumpang bot itu dipercayai warga tempatan dan dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung ke Kampung Tandoan di Pulau Tandoan.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan bot berkenaan mungkin terlebih muatan, selain faktor keadaan laut dan cuaca buruk.

Beliau menambah operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 11.45 malam Khamis selepas APMM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain