KERANI wanita, Sam Ke Ting memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada Rabu. Rayuan itu membabitkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu yang menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak. Bercakap kepada The Star, peguamnya, Muhammad Faizal Mokhtar berkata, notis usul kebenaran merayu dan sijil perakuan segera difailkan menerusi sistem e-filing mahkamah, Khamis pagi. ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi basikal lajak: Jurujual wanita dipenjara 6 tahun, denda RM6,000 akibat kematian 8 remaja Kedua-dua permohonan itu untuk kebenaran merayu dan menangguhkan pelaksanaan hukuman ke atas Ke Ting. "Terima kasih atas semua sokongan kepada Sam," kata Muhammad Faizal menerusi aplikasi WhatsApp. Ke Ting sebelum ini dibebaskan dua kali oleh Mahkamah Majistret. Pada Rabu, Mahkamah Tinggi di Johor Bahru memerintahkan Ke Ting dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 di atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja basikal lajak, kira-kira lima tahun lalu. Ke Ting turut diperintah menjalani hukuman selama enam bulan penjara lagi sekiranya tidak membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun. Lapan remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI