suria

Fahmi Reza kena ‘blacklist’, dilarang ke luar negara

Fahmi Reza sebelum ini ditahan pihak polis selepas memuat naik satira monyet memakai tengkolok.

AKTIVIS yang juga pereka grafik, Fahmi Reza disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen dan dilarang keluar negara.

Lelaki berusia 44 tahun itu mendapat tahu namanya tersenarai dalam senarai hitam Jabatan Imigresen pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Fahmi Reza ditahan polis, kes sedang disiasat Bukit Aman

"Aku dah kena blacklist (senarai hitam) dan dilarang ke luar negara. Semalam aku baru dapat tahu, nama aku dalam senarai 'blacklist' imigresen.

"Aku disekat dari renew (memperbaharui) pasport, dan disekat dari ke luar negara. Jabatan Imigresen kata sekatan dari Bukit Aman/PDRM," menurut Fahmi dalam catatan di Facebook pada Sabtu.

Fahmi berkata, dia kini sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran daripada polis kerana perlu ke Eropah pada Mei depan untuk persembahan teater.

"Kalau penjenayah yang disabitkan kesalahan dan ada 42 pertuduhan jenayah korupsi pun boleh dapat 'clearance' untuk ke luar negara, harap Bukit Aman boleh bagi aku 'clearance' sekali. Jangan double standard," tambah Fahmi.

Pada Jumaat (22 April), Fahmi dipanggil polis untuk disoal siasat namun dia tidak menghuraikan sebabnya.

Pada 14 April, Fahmi ditahan pihak polis selepas memuat naik satira monyet memakai tengkolok. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain