suria

2,000 ekor babi di 19 ladang hilang tanpa khabar berita, apa yang berlaku sebenarnya

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) yang membuat pemeriksaan mendapati kesemua ladang itu telah kosong. (Gambar Hiasan)

LADANG tiba-tiba kosong.

Begitulah kisahnya mengenai kira-kira 2,000 ekor babi di 19 ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, Negeri Sembilan yang dipercayai dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Ia selepas satu ladang di kawasan itu disahkan dijangkiti virus Demam Babi Afrika (ASF) sekali gus menyebabkan 275 ekor babi terpaksa dilupuskan.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, perkara itu hanya diketahui selepas pasukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) yang membuat pemeriksaan mendapati kesemua ladang itu telah kosong.

"Susulan kes ASF dilaporkan di sebuah ladang sebelum ini, kita buat pemeriksaan dari ladang ke ladang untuk mengambil sampel, tapi semuanya telah kosong.

"Pemantauan terus dilakukan dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak polis.

"Jika kita mempunyai maklumat, kita akan masuk serta-merta untuk tindakan lanjut," katanya selepas meninjau jualan daging dan produk asas tani di Pasar Tani Paroi Jaya serta mempromosi Mantai Perdana Online pada Ahad.

Menurutnya, JPVNS tiada pengetahuan sama ada babi diternak dipindah ke lokasi lain atau dilupuskan.

Tambah beliau, JPVNS juga tidak menerima laporan kemungkinan babi dari 19 ladang itu dijual kepada orang ramai pada harga murah atau dilupuskan.

"Sebelum ini saya dah ingatkan berhati-hati jika ada yang jual babi dengan harga yang murah.

"Kita akan teruskan pemantauan dan saya sudah minta pihak perundangan untuk melihat dari sudut undang-undang, apa lagi tindakan yang boleh diambil," katanya.

Pada 8 April lalu media melaporkan, JPVNS mengesan kes pertama ASF di sebuah ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A dan mengambil tindakan melupuskan kesemua 275 ekor babi. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain