KEADAAN kesihatan remaja sindrom down, Bella, yang didakwa didera di sebuah rumah jagaan tahun lalu, kini beransur pulih. Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas bertemu sendiri dengan remaja berusia 13 tahun berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu kes Bella berulang, 3 perkara dicadang dalam pertemuan TMJ-Rina Harun "Rumah jagaan baru di Seremban menjaga Bella dengan baik. Hari ini saya bertemu Bella, Bella sudah pulih seperti sediakala... berkeyakinan tinggi untuk bergaul dengan rakan-rakan. "Terima kasih kepada kakitangan pusat jagaan di Seremban ini," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu. Dalam pada itu Ismail berkata, kerajaan mengambil serius kes penderaan melibatkan Bella dan telah membuat intervensi menyelamatkan remaja berkenaan dengan membawanya keluar dari rumah jagaan terdahulu, menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Kes seperti Bella merupakan antara banyak kes yang mungkin berlaku tetapi tidak dilaporkan. "Bukan sahaja isu penderaan tetapi juga isu anak yatim yang dihantar ke rumah anak yatim tidak mempunyai dokumen seperti sijil kelahiran dan lain-lain. "Banyak pusat-pusat jagaan yang tidak didaftarkan dan menyukarkan pemantauan," katanya. Justeru kata Ismail Sabri, kerajaan memutuskan untuk membentuk Jawatankuasa Kabinet Melindungi Kumpulan Rentan seperti kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita bagi memastikan golongan berkenaan terus dilindungi. "Kerajaan akan melihat secara menyeluruh seperti pendaftaran pusat jagaan, mempermudahkan pendaftaran dan pindaan akta lapuk mengeluarkan sijil kelahiran malah termasuk penstrukturan semula JKM,"katanya lagi. Dalam hantaran sama, Ismail Sabri turut berkongsi video beliau bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun melawat Bella. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI