suria

Pengasas Rayani Air masih terkejar-kejar puasa penuh... Dugaan Ramadan ke-3 lain macam, cuaca panas paling mencabar

Ravi berkongsi pengalamannya menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

MELAFAZKAN dua kalimah syahadah merupakan saat terindah dalam hidup seorang usahawan yang pernah dikaitkan dengan beberapa kontroversi.

Begitulah yang dirasai Ravi Alagendrran Abdullah yang pernah mengasaskan syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air sejak memeluk Islam pada 2019.

Kata Ravi, keputusan untuk memeluk Islam adalah pilihannya meskipun menyedari kemungkinan kehilangan semua yang pernah dimilikinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rayani Air buka pintu hati pengasasnya lafaz syahadah

ARTIKEL BERKAITAN: Rayani Air Gantung Operasi Serta-Merta

Malah, ahli perniagaan berusia 56 tahun itu mengakui berdepan banyak cabaran tanpa mengira masa dan keadaan.

"Menyedari saya bukanlah manusia yang sempurna, saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk perlindungan daripadaNya.

"Kesempurnaan bukannya milik saya, namun saya berusaha ke arah menjadikan diri lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini, dan begitulah seterusnya," kongsinya kepada mStar.

pengasas rayani air 3

Rayani Air, syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia.

Bagi Ravi dia menganggap Ramadan kali ini lebih baik berbanding 2020 iaitu tahun pertama dia mula menunaikan Rukun Islam ketiga itu.

"Ketika kali pertama dulu, keadaan saya seperti seekor ayam yang kehausan dan kelaparan. Namun kali ini walaupun dalam keadaan cuaca yang panas, ia jauh lebih baik berbanding dulu.

"Namun saya sedaya-upaya mengelak daripada buat aktiviti luar dan banyak mengambil peluang tidur sekejap-sekejap antara 15 hingga 30 minit.

"Puasa di bulan Ramadan merupakan satu ibadah yang penuh dengan cabaran. Kita akan nampak keindahan puasa ini apabila berjaya mengharungi cabaran puasa dengan jayanya," katanya.

pengasas rayani air 1

Ravi (kanan) bernikah dengan wanita warga Indonesia pada 2019.

Menurut Ravi lagi, walaupun sudah memasuki tahun ketiga mula berpuasa, namun dia masih mencuba untuk melengkapkan puasa sebulan.

"Berpuasa penuh sebulan di bulan Ramadan merupakan perkara yang saya akan kejar. Untuk tahun ini, belum boleh lagi sebab ada beberapa hari saya terlepas," katanya sambil menambah cuaca yang panas dan kering merupakan cabaran utama ketika berpuasa.

pengasas rayani air 5 W

Ravi mendekati pelajar-pelajar tahfiz di bulan Ramadan.

Dalam pada itu ahli perniagaan yang berasal dari Klang, Selangor ini berkata dia mahu menjadi seorang Muslim yang beriman dan berjaya dalam kehidupan.

"Saya nak jadi seorang muslim yang beriman, berjaya dalam kehidupan dan mengejar kekayaan dunia dengan keberkatan. Itulah intipati perniagaan syarikat penerbangan patuh syariah yang pernah saya miliki.

Saya nak jadi seorang muslim yang beriman, berjaya dalam kehidupan dan mengejar kekayaan dunia dengan keberkatan. Itulah intipati perniagaan syarikat penerbangan patuh syariah yang pernah saya miliki.

RAVI ALAGENDRRAN ABDULLAH

"Saya hanya boleh merancang dan berusaha, hanya Allah SWT yang menentukan," katanya yang kini mengusahakan perniagaan berasaskan sisa elektronik dan kerja-kerja karaman kapal.

Ravi yang mula mengenali Islam sejak mengendalikan syarikat penerbangan patuh syariah itu pada 2015 turut mendekati pelajar-pelajar tahfiz di Madrasah 'Ulumulquran Wal Ahadith di Klang, pada Ramadan kali ini.

pengasas rayani air 6 W

Ravi (hadapan, tengah) bersama sebahagian pelajar-pelajar tahfiz.

"Dari semasa ke semasa, saya turut memberi sumbangan kepada sekolah ini, sedikit-sebanyak dapat meringankan beban mereka dan anak-anak tahfiz.

"Terdapat kira-kira 200 anak yatim. Meluangkan masa bersama mereka dengan berbuka puasa dan solat merupakan rutin saya di bulan Ramadan," katanya.

Dalam pada itu, Ravi yang dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia hampir dua tahun hasil pernikahannya dengan wanita warga Indonesia tidak menyembunyikan perasaan rindunya untuk kembali aktif dalam industri penerbangan

"Sememangnya saya merindui industri penerbangan. Saya ingin dan akan kembali ke industri ini dengan lebih mantap lagi," katanya.

pengasas rayani air 4 W

Ravi (baju biru) bersama Pengasas 'Ulumulquran Wal Ahadith, Amran Johari (baju hitam) dan sebahagian pelajar-pelajar tahfiz.

Rayani Air memulakan operasi sebagai syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia pada Disember 2015.

Bagaimanapun, Ravi membuat pengumuman menggantung operasi Rayani Air pada 9 April 2016 susulan beberapa masalah termasuk isu teknikal.

Pada Jun 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air kerana didapati melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan serta pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain