BAPA kepada dua anak perempuan maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 23.5, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar di Sungai Siput, Perak pada Jumaat. Dalam kejadian sekitar jam 12.45 tengah hari itu, mangsa yang juga guru berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Pada masa sama, dua anak perempuannya berusia 10 dan 13 tahun yang terselamat dalam kemalangan hanya mengalami kecederaan di muka dan kaki. Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Hyundai dalam perjalanan dari Sungai Siput menuju ke Ipoh. "Setibanya di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan serta pokok. "Mangsa yang tersepit di tempat duduknya disahkan meninggal dunia. Mayat dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi. Menurutnya, kedua-dua anak mangsa telah mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI