SEORANG lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kulai-Kota Tinggi di Johor. Pegawai bomba dan penyelamat, Norahpandi Samsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.55 petang, Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa maut, dua anak cedera kereta terbabas langgar pokok "Kemalangan membabitkan kereta Perodua Axia dan lori berhampiran sebuah pusat pengajian," katanya dalam satu kenyataan. Ekoran itu, katanya, 13 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi serta Kulai. Tambahnya, pasukan FRT dan EMRS yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Rafi Mohd Nor turut dihantar ke lokasi. "Pemandu kereta dikenal pasti sebagai Mohamad Izzat Najimi Mohd Zain berumur 25 tahun manakala mangsa kedua yang juga penumpang kenderaan tersebut adalah isterinya Azra Nurmazmirab Mazlan, 25, mengalami kecederaan. "Pemandu lori, Wong Wei Hua, 42, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. Ujarnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi selesai pada jam 3.10 petang. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI