suria

Tercampak bawah lori, guru al-Quran tunggang motor maut dalam kemalangan... Tak sempat konvo minggu depan

Mangsa yang berusia 22 tahun tersebut mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Foto: PDRM.

PILU dan menyayat hati.

Begitulah gambarannya mengenai kisah kematian seorang guru al-Quran pada Khamis.

Lebih menyedihkan, mangsa yang merupakan graduan Diploma Pengajian Islam Kolej Uniti Port Dickson sepatutnya menghadiri istiadat konvokesyen minggu depan.

Dalam kejadian di Jalan Batang Benar, Nilai, Negeri Sembilan, mangsa maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat kemalangan dengan lori tangki.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab. Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan sebuah lori tangki jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun dari Kajang menghala ke Nilai.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa memotong sebelah kanan lori, bergesel dan hilang kawalan.

"Penunggang motosikal berkenaan tercampak ke bawah lori sebelum digilis kenderaan berat terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, akibat kemalangan, penunggang motosikal berusia 22 tahun tersebut mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain