suria

Penduduk ketakutan! Baru 2 hari pindah masuk, rumah baharu alami tanah runtuh

Tiada kemalangan jiwa berlaku dilaporkan dalam insiden itu.

LIMA sekeluarga yang baru sahaja berpindah ke rumah baharu dua hari lepas gempar apabila dinding kediaman mereka roboh akibat kejadian tanah runtuh di Taman Sri Perkasa, Ipoh, Perak.

Mangsa, ejen insurans bebas, Dina Liz Ismail, 37, berkata sebahagian cerun bersebelahan rumah mereka di Laluan Lapangan 3 rosak akibat ribut petir sebelum waktu subuh pada Ahad.

“Terdapat kejadian bekalan elektrik terputus kira-kira jam 5 pagi. Kami dapat lihat air berlumpur mengalir di jalan di hadapan rumah kami dan menuruni cerun.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh Ampang: Lelaki 68 tahun antara 2 terselamat, 3 lagi masih hilang... penduduk sekitar diarah pindah serta merta

"Kira-kira jam 6 pagi, dinding perimeter mula retak dan kemudian runtuh bersama sebahagian cerun. Ia merupakan saat yang menakutkan bagi kami kerana ini benar-benar luar jangkaan.

"Struktur rumah itu telah diperiksa pemaju dan didapati masih stabil. Pemaju berkata akan membaiki kerosakan dan menempatkan kami di inap desa berhampiran," katanya sambil menambah kerja pembaikan dianggar mengambil masa kira-kira dua minggu.

Jurucakap wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 pagi dan semasa tinjauan dilakukan didapati tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

“Kami menasihatkan pemilik rumah terbabit dan dua lagi penduduk yang tinggal berhampiran kejadian tanah runtuh supaya mengosongkan kediaman mereka buat masa ini,” katanya.

Pengerusi persatuan penduduk Datuk Zul Zukree Zakaria berkata dia percaya tanah runtuh itu berpunca daripada projek pembangunan berhampiran.

“Sejak projek itu dimulakan kira-kira dua tahun lalu, terdapat banyak banjir kilat di sini. Kali ini, sebahagian cerun tersebut runtuh.

“Kami berharap Majlis Bandaraya Ipoh akan (melihat) perkara ini secara serius dan mengambil tindakan sebelum lebih banyak insiden berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi MCA Gopeng, Cally Ting berkata, dia akan cuba mencari penyelesaian kepada masalah banjir kilat yang berterusan di sana.

“Kita akan berjumpa dengan semua pihak berkaitan termasuk pemaju projek dan Datuk Bandar bagi mengetahui punca utama isu banjir kilat ini dan menyelesaikannya.

“Kira-kira 106 penduduk telah mengumpul tandatangan untuk diserahkan kepada Datuk Bandar memintanya meneliti isu di sini,” katanya.

Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh berkata hujan lebat dan ribut petir sebelum subuh menyebabkan beberapa kawasan di kawasannya dinaiki air.

“Kami menggesa majlis bandaran mengenalpasti punca-punca banjir. Kawasan yang tidak pernah dinaiki air kini semakin dinaiki air.

“Kerajaan negeri perlu mempunyai rancangan untuk menangani perubahan iklim, kerana kita kini melihat kesannya,” tambahnya. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain