suria

Kemalangan 5 pelajar Usas: Pemandu treler didakwa hari ini

Kemalangan tragis yang meragut lima pelajar Usas.

SUSULAN tragedi yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar, minggu lalu, pemandu treler yang mengakibatkan kemalangan tragis itu akan didakwa di mahkamah pada Selasa.

Lelaki berusia 28 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada petang Selasa.

Dia akan disabitkan atas lima pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemalangan 5 pelajar USAS: Bedah siasat selesai, jenazah boleh dituntut

ARTIKEL BERKAITAN: Lima mangsa rentung disahkan pelajar Usas, pemandu treler direman bantu siasatan

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kertas siasatan kes itu dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan tuduh di mahkamah.

"Pemandu tersebut akan dibawa ke mahkamah petang ini (Selasa) untuk menghadapi lima pertuduhan," katanya ketika dihubungi, pada Selasa.

Polis sebelum ini telah mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menahan reman pemandu berkenaan selama tujuh hari bermula Khamis lepas bagi membantu siasatan kes.

Minggu lalu, lima pelajar Usas rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, tengah malam Rabu.

Mereka adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, berasal dari Chukai Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain