suria

MOTAC anjur Majlis Rumah Terbuka Malaysia di Terengganu, rugi kalau tak datang... Jupe mung di nung!

MRTM Aidilfitri 2022 akan diadakan bermula 19 Mei ini.

PEMBUKAAN sempadan negara pada 1 April lalu sudah pasti dapat merancakkan semula sektor pelancongan dan kebudayaan di seluruh Malaysia yang lumpuh dek pandemik Covid-19.

Menyambut baik keputusan tersebut, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) tampil dengan pelbagai program menarik, termasuklah Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 yang akan diadakan di Terengganu pada 19 hingga 21 Mei ini.

Bertempat di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu, MRTM menyajikan pelbagai pameran, demonstrasi, persembahan dan pertandingan sepanjang tiga hari pengajurannya.

Program yang julung kali diadakan di Pantai Timur itu bertujuan mendekatkan masyarakat umum dan Keluarga Malaysia dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia.

Majlis perasmian MRTM pula akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 9 malam, Jumaat.

2

Aktiviti menarik yang diadakan sepanjang tiga hari penganjuran MRTM Aidilfitri 2022.

Ceramah agama berjudul 'Syawal Disambut Dengan Penuh Kesyukuran dan Kegembiraan' yang menampilkan panelis seperti Pengarah i-MiTS, ustaz Kamaruzaman Abdullah; Timbalan Dekan (Jaringan & Alumni), Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan bekas Mufti Terengganu, Datuk Zulkifli Muda akan diadakan bermula pukul 9 malam, Khamis ini.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung MRTM juga boleh menyertai bengkel dan kelas masakan warisan seperti menganyam ketupat palas, ketupat nasi, ketupat daun tebu serta pulut jantung.

Selain itu, demonstrasi masakan warisan seperti ketupat sotong, serunding ayam dan kuih bunga ros akan diadakan disamping pertandingan makan ketupat terbanyak, kukur nyor, perah santan dan musang berjanggut.

Lebih menarik, pengunjung juga dapat menyaksikan koleksi khas Hari Raya Aidilfitri dari tahun 1915 sehingga kini semasa kunjungan ke MRTM.

Pameran manuskrip Melayu dan nadir berkaitan perayaan penganut agama Islam juga akan diadakan, malah banyak promosi pakej serta insentif pelancongan dan kebudayaan akan ditawarkan dalam program tersebut.

NST MRTM RAYA 2022-01

Jadual aktiviti dan acara MRTM Aidilfitri 2022.

Antara aktiviti menarik lain termasuklah perarakan bot berhias, kenduri rakyat, pertandingan ayam ratu, pertunjukan kambing cantik, himpunan keris, gateh busana, tok dekok jangok, Raja Dayung Terengganu, zoo kampung serta macam-macam lagi.

Pengunjung yang hadir dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal bagi memastikan keselamatan bersama.

Untuk rekod, ini merupakan penganjuran pertama MRTM setelah dua tahun menyepi akibat wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Malah, ia juga merupakan MRTM pertama yang diadakan di negeri pantai timur.

MOTAC turut mengalu-alukan Keluarga Malaysia dari dalam dan luar Terengganu untuk hadir sama dan memeriahkan lagi seribu satu tarikan yang ada menerusi edisi MRTM kali ini.

Jadi tunggu apa lagi? Keluarga Malaysia yang lengkap vaksinasi dijemput hadir ke program ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain