suria

KKM tak terima sebarang laporan cacar monyet merebak ke Malaysia, orang ramai jangan sebar berita tak sahih

Tangkap layar memaparkan dakwaan seorang kanak-kanak tempatan dijangkiti cacar monyet tular pada Selasa.

DAKWAAN mengenai jangkitan cacar monyet melibatkan seorang kanak-kanak di Malaysia hangat diperkatakan hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan pada Selasa petang mengesahkan belum menerima sebarang notifikasi berhubung penularan virus tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh cacar monyet dah berjangkit di Malaysia, konon ‘his my mom's friend punya anak buah dah kena’! Doktor minta jangan suka-suka buat dakwaan

"Sehingga 24 Mei 2022 jam 5 petang, KKM tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes yang dijangkiti virus monkeypox atau kes kanak-kanak yang dikatakan dijangkiti virus monkeypox seperti dalam mesej beserta gambar yang ditularkan dalam media sosial," ujar kenyataan itu.

Menurut KKM, waris kanak-kanak tersebut wajar mendapatkan rawatan segera jika benar apa yang didakwa dalam posting tersebut.

"Sekiranya gambar tersebut adalah benar, waris kepada kanak-kanak tersebut dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

"Orang ramai dinasihati supaya tidak menularkan berita yang tidak diketahui kesahihannya, sebaliknya menasihati pesakit atau waris untuk mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu jika berkaitan penyakit atau lain-lain masalah kesihatan," ujar KKM lagi.

Terdahulu, tular tangkap layar memaparkan dakwaan yang mengatakan penyakit itu telah merebak ke Malaysia.

"Dia anak buah kawan mak saya. Dia kena monkeypox. Monkeypox dah masuk Malaysia. Jadi hati-hati bawa anak-anak keluar.

"Tolong balik rumah terus mandi. Jaga diri anda dan anak-anak. Tak habis dengan HFMD (penyakit kaki, tangan dan mulut). Sekarang monkeypox pula.

"Lepas tu berita tak keluarkan pun. Dasar Malaysia betul. Nanti kes dah beratus baru nak masuk berita," tulis individu itu menerusi status WhatsApp.

Posting itu turut disertakan dengan foto seorang kanak-kanak yang mengalami simptom persis penyakit cacar monyet pada bahagian tangannya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain