suria

Jual roti canai 50 sen sekeping, peniaga akui tak sampai hati naikkan harga... Syukur rezeki seadanya, tiada niat nak kaya

Kata Rohaizan, setakat ini dia tidak akan menaikkan harga roti canai yang dijual. Foto: Sinar Harian.

SIKAP mulia peniaga roti canai ini wajar mendapat pujian ramai.

Biarpun harga tepung gandum meningkat, Rohaizan Hassan, 52, masih mengekalkan harga 50 sen bagi sekeping roti canai kosong.

Menurut peniaga dari kawasan perindustrian Chendering, Terengganu itu, dia tidak sampai hati untuk menaikkan harga kerana risau pelanggannya terbeban.

"Saya kasihan pelanggan yang ramai anak terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk makan pagi. Kalau harga dinaikkan jumlah perbelanjaan mereka sudah tentu berganda.

"Ramai pelanggan saya beritahu susah nak dapat roti canai harga murah sekarang. Kalau ada pun harga roti kosong RM1.20, RM1.50 sekeping macam tak munasabah pula.

"Lagipun saya niaga untuk lepas bayar hutang dan simpanan untuk belanja sekolah anak. Alhamdulillah setakat ini ada rezeki. Nak kaya itu tidaklah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Rohaizan, bergantung atas kedai untuk menaikkan harga sekiranya perlu membayar sewa mahal, ia agak munasabah.

"Saya tahu ramai peniaga lain yang berbeza pandangan dengan saya dalam hal ini. Tetapi bagi saya, kalau peniaga yang sewa rendah atau jual tepi jalan macam saya namun roti canai yang dijual mahal, ia tidak munasabah.

"Lagipun pendapatan orang sekarang bukan macam dulu kerana peningkatan komitmen, harga semua barang naik mendadak. Kalau harga roti canai kosong dijual 80 sen hingga RM1 bagi saya masih boleh diterima, kalau sudah mencecah RM1.50 itu sudah menganiaya pelanggan," katanya.

rc

Dia tidak sampai hati untuk menaikkan harga kerana risau pelanggannya terbeban.

Menurut Rohaizan, setakat ini dia tidak akan menaikkan harga roti canai yang dijual.

"Semua barang sekarang naik harga. Harga biasa bagi sekotak tepung gandum RM15, kalau naik harga akan jadi dua kali ganda. Akan datang harga sekotak tepung tak mustahil sama dengan sebiji tong gas.

"Walau macam mana sekalipun saya takkan naikkan harga roti canai ini sebab harga semua ini semua boleh diselaraskan. Biarlah ia kekal dan kalau boleh sampai bila-bila saya nak kekalkan harga ini demi pelanggan," katanya.

Rohaizan berkata, setakat ini dia tidak mengalami kesukaran untuk dapatkan tepung gandum di Kuala Terengganu.

Katanya, selain roti canai, dia turut menjual tiga jenis martabak iaitu ayam, daging dan sardin yang dijual pada harga RM5 bagi tiga keping.

"Selepas Hari Raya Aidilfitri pelanggan agak berkurangan. Rata-rata peniaga pun mengeluh pelanggan kurang mungkin faktor perayaan.

"Tepung gandum yang saya gunakan sebanyak 4 kilogram (Kg) sehari ada masa tertentu tidak habis. Hari cuti pula 7kg tepung ada yang tak habis berbanding sebelum ini 10kg tepung gandum licin dijual," ujarnya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan