JEMAAH umrah wanita yang meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setibanya dari tanah suci pada Jumaat, dipercayai mengalami komplikasi darah tinggi. Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 1.10 tengah hari. "Kejadian berlaku di laluan Gate 12 KLIA untuk pesawat MH8021. "Pemeriksaan fizikal tiada kesan yang mencurigakan dan berdasarkan maklumat, mangsa berusia 53 tahun ada menghidap penyakit darah tinggi," katanya pada Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Pemergian yang dicemburui... Tak sempat pulang ke rumah, jemaah umrah wanita meninggal dunia setibanya di KLIA Beliau berkata, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang dengan diiring pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) KLIA untuk tindakan lanjut. Terdahulu, kisah seorang jemaah wanita yang menghembuskan nafas terakhir sebaik pulang daripada mengerjakan umrah, menjadi tular. Jemaah tersebut dilaporkan rebah dan pengsan sejurus keluar dari pintu pesawat. Kisah pemergian jemaah tersebut turut dikongsikan pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU) Amin, menerusi laman Instagram. "Moga Allah memuliakan Almarhumah Norasiah Alwi. Husnul khatimah. Pemergian yang dicemburui. "Selagi belum sampai ke rumah, Almarhumah masih berstatus tetamu Allah. Al-Fatihah," tulis PU Amin. Sementara itu menurut mutawif, jenazah telah selamat diuruskan dengan kerjasama baik dari kru Malaysia Airlines, kakitangan dan polis KLIA. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI