MENJADI antara permainan popular kanak-kanak, siapa sangka, kapal terbang kertas kini diiktiraf di peringkat antarabangsa? Lebih mengujakan, seorang anak muda Malaysia mengharumkan nama negara di persada dunia apabila kapal terbang kertas ciptaannya berjaya memecahkan Rekod Dunia Guiness (Guiness World Records) dalam kategori 'penerbangan paling jauh dengan pesawat kertas'. Memetik guinnessworldrecords, anak muda bernama Chee Yie Jian, 24, bekerjasama dengan dua orang lagi individu untuk memecahkan rekod tersebut iaitu Kim Kyu Tae dan Shin Moo Joon, di mana kedua-duanya merupakan rakyat Korea Selatan. ARTIKEL BERKAITAN: Anak Malaysia berlari 500km dalam suhu negatif di Sweden disahkan tiba di garisan penamat, penganjur dipuji akui kesilapan Hasil kerjasama trio itu, kapal terbang kertas mereka mencapai jarak 77.134 meter, dalam pertandingan di Daegu, Gyeongsangbuk-do, Korea Selatan pada 16 April 2022. Secara keseluruhan, lapan balingan telah diukur, dengan 77.134 meter adalah yang paling jauh dan 71.813 meter adalah yang terpendek. Pasukan 'Shin Kim Chee' juga memecahkan rekod mereka sebelum ini iaitu 69.14 meter yang dicapai pada 26 Februari 2012. Setiap ahli trio ini mempunyai kepakaran dan peranan masing-masing. Shin yang mengasaskan trio itu berperanan melipat kapal terbang kertas, Kim adalah pelontar manakala Chee bertanggungjawab sebagai pereka. Shin (kiri) yang mengasaskan trio itu berperanan melipat kapal terbang kertas manakala Kim (kanan) adalah pelontar. "Kami menerbangkan kapal terbang kertas sejauh 78 meter ketika ujian, dua bulan sebelum percubaan rasmi. Matlamat kami adalah untuk menerbangkannya sekurang-kurangnya 75 meter," kata Shin. Menurut mereka, elemen penting dalam percubaan untuk menerbangkan kapal terbang kertas adalah jenis kertas yang digunakan. "Bekas pemegang rekod, John M. Collins menggunakan Conqueror CX22 100GSM, yang merupakan salah satu kertas paling berkualiti tinggi di dunia. Oleh itu, kami juga menggunakan CX22," ujar Chee yang kini merupakan jurutera rekabentuk dengan syarikat Airbus dan menetap di Kansas, Amerika Syarikat. Walaupun reka bentuk kapal terbang kertasnya menjadi kunci untuk memecahkan rekod tersebut, Chee sebenarnya tidak berada di Daegu untuk menyaksikan momen bersejarah tersebut. Dia malah tidak pernah bertemu Shin atau Kim secara langsung. "Saya mengenali Shin hampir sedekad sekarang dan kami sentiasa membincangkan cara baharu untuk terbang lebih tinggi, lebih jauh dan lebih lama, melalui e-mel dan media sosial," ujarnya. Sungguhpun belum pernah bersua muka, ketiga-tiga mereka bersepakat untuk terus bekerjasama sebagai satu pasukan dan memecahkan rekod pada masa akan datang. "Saya percaya pasukan kami boleh menerbangkan kapal terbang kertas melebihi 80 meter untuk rekod yang sama jika kami boleh mengakses venue yang lebih luas," kata Shin. Untuk rekod, gelaran Rekod Dunia Guinness yang pertama untuk kategori tersebut disandang oleh Tony Felch di La Crosse, Wisconsin, Amerika Syarikat pada 1985 dengan jarak 58.82 meter. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI