SEORANG bekas diplomat dan anaknya membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan menanam 102 pokok disyaki pokok ganja. Tertuduh, Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya Mohamed Rizal Zainal Abidin Alias, 53, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya, di Mahkamah Sesyen Raub pada Rabu. Kedua-dua tertuduh turut memohon untuk dibicarakan. ARTIKEL BERKAITAN: Kes ladang ganja: Bekas diplomat berstatus Datuk, anak lelaki didakwa di mahkamah Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menanam 102 pokok ganja di Kampung Sum Sum Hilir Janda Baik, Bentong pada jam 6.10 petang, 21 Mei lalu. Untuk kesalahan tersebut, mereka didakwa di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan maksimum enam kali jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohammad Khalid Ab Karim bersama Hayda Faridzal Abu Hasan dan Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan. Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh. Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Julai depan. Untuk rekod, pada 24 Mei lalu, media melaporkan seorang bekas diplomat bergelar Datuk ditahan berikutan penemuan kira-kira 100 pokok ganja di pekarangan rumahnya di Janda Baik, Pahang. Bekas diplomat itu ditahan dalam serbuan di rumah manakala anak lelakinya ditahan di Shah Alam. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI