suria

Makin ramai nak bantu Kazim Elias, KKM minta pakar patologi UPM lakukan biopsi kulit

Ustaz Kazim menderita sakit sejak lapan bulan lalu menyebabkan luka di seluruh badan termasuk muka.

SUSULAN penderitaan berhuhung penyakit misteri yang dialami pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan universiti tempatan tampil menghulurkan bantuan.

Menurut Ustaz Kazim, dia dijadualkan bakal berjumpa pakar patalogi kulit dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Khamis.

“Mereka akan membuat biopsi untuk kenal pasti jenis penyakit saya dan kaji apa sebenarnya yang berlaku. Sebelum ini saya sudah berjumpa dengan lapan doktor pakar dan pakar kulit menyatakan hanya sakit kulit biasa dan akan hilang apabila pakai krim.

“Tetapi, sehingga sekarang sakit saya tidak sembuh. Mereka mengikuti perkembangan saya dan ambil keputusan untuk bantu dengan membuat biopsi untuk kenal pasti penyakit ini.

“Selain mereka, ada beberapa pihak lagi yang datang menghulurkan bantuan termasuk daripada persatuan doktor dan individu-individu lain yang ingin turut sama membantu.

“Saya bersyukur kerana ada pihak yang tampil membantu pada saat saya terbuka untuk berkongsi sakit yang saya deritai selama ini,” katanya dalam Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf.

Terdahulu, Ustaz Kazim telah berkongsi secara terbuka penderitaan yang dialaminya sejak lapan bulan lalu yang menyebabkan luka di seluruh badan termasuk muka.

Jelasnya mengenai penyakit dialami, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan rasa sakit, gatal dan pedih, malah membuatkan beliau gelisah hingga tidak boleh tidur seharian sejak beberapa bulan lalu. - Sinar Harian

Artikel Lain