suria

Enggan panjangkan kes, keluarga Muhammad Adib tarik rayuan... Mahu mulakan hidup baharu

Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

KES kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim masih lagi segar dalam ingatan rakyat Malaysia.

Pada Rabu, keluarganya menarik balik rayuan berhubung permohonan mengkomitkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas atas tuduhan menghina mahkamah.

Menurut firma guaman, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates arahan itu dibuat oleh keluarganya kerana tidak lagi mahu memanjangkan perkara tersebut.

"Susulan daripada arahan keluarga Muhammad Adib agar rayuan bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid ditarik balik, peguam telah memfailkan Notis Menarik Balik Rayuan pada 31 Mei lalu, diikuti Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili Tommy Thomas memfailkan penarikan rayuan pada Selasa," jelas Mohd Zubir.

Katanya, pihak keluarga Muhammad Adib menganggap bahawa proses dan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Tommy Thomas dan AGC selesai dan tamat di sini.

"Mereka turut berharap agar masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah untuk meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan serta memulakan kehidupan baharu," katanya pada Rabu.

Jelas firma itu, terdapat tiga rayuan sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan.

"Pertama, rayuan oleh AGC bagi menegaskan bahawa hakim koroner tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menghukum seseorang, termasuk Tommy Thomas atas kesalahan menghina mahkamah," katanya.

Manakala dua lagi ujarnya, rayuan Mohd Kassim, 66, bagi mencabar keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan bahawa Tommy Thomas mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain