suria

Berita baik! Perkhidmatan tren JB-Singapura beroperasi semula

Ka Siong (berdiri, dua kiri) dan Onn Hafiz (berdiri, kanan) memberi cenderamata kepada penumpang tren Shuttle Tebrau.foto SIN CHEW

PERKHIDMATAN Tren Shuttle Tebrau dari Stesen JB Sentral, Johor Bahru ke Stesen Woodlands, Singapura, beroperasi semula mulai Ahad (19 Jun).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, terdapat 31 trip sehari, dengan 13 perjalanan dari Malaysia-Singapura dan 18 perjalanan dari Singapura-Malaysia.

"Kita menjangkakan perkhidmatan ini mampu menampung kapasiti maksimum seramai 320 penumpang setiap trip atau perjalanan dan dijangkakan seramai 7,000 penumpang sehari akan menggunakan perkhidmatan ini,

"Tambang bagi perkhidmatan ini adalah RM5 sehala untuk perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands dan SGD5 dari Woodlands ke JB Sentral," katanya kepada pemberita selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau di JB Sentral, di Johor Bahru, Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Perkhidmatan itu mula digantung sementara pada 24 Mac 2020, berikutan penutupan sempadan negara akibat pandemik Covid-19.

Ka Siong berkata, had itu adalah kerana memberi peluang kepada KTMB untuk memadankan perkhidmatan antara aplikasi MySejahtera dan MyICA.

"Kita telah melakukan penambahbaikan seperti mewajibkan penumpang menggunakan pasport mereka sebagai tiket dan mengehadkan setiap penumpang kepada maksimum empat tiket.

"Salah satu isu yang dihadapi KTMB sebelum ini ialah jualan tiket, di mana mereka akan membeli tiket secara pukal dan menjualnya semula pada harga lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, penyambungan semula perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau itu memberi manfaat kepada ribuan rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja ke republik itu.

“Saya dimaklumkan lebih 70,000 tiket telah dijual untuk bulan pertama perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau.

"Ini jelas menunjukkan orang ramai sangat berharap untuk menggunakan semula perkhidmatan ini.

"Ini adalah detik bersejarah buat rakyat Johor, pengoperasian semula perkhidmatan Shuttle Tebrau dapat mengurangkan kadar kesesakan trafik di Tambak Johor," katanya. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain