ABANG sulung pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Mohd Faisal Rohban Ahmad membuat laporan mendakwa pengurusan membawa pulang jenazah Allahyarham Faziani Rohban ke negara ini dari Thailand tidak mengikut tatacara yang sah. Laporan tersebut dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lundang, Kelantan menerusi firma guaman Shaharuddin Hidayu & Marwaliz pada Ahad. Menurut Peguam bela dan peguam cara, Leftenan Kolonel Bersekutu Azhar Ahmad, keluarga memohon satu penyiasatan dilakukan oleh SPRM kerana mendakwa urusan penghantaran jenazah tersebut tidak melalui Kedutaan Malaysia di Bangkok atau Konsul Malaysia di Songhkla yang disahkan oleh seorang pegawai di Wisma Putra, Putrajaya. “Jenazah Faziani tiba terlalu cepat ke Malaysia melalui pintu sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang pada jam 4 petang hari sama kemalangan pada 18 Mei 2019. “Urusan penghantaran jenazah arwah didakwa tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang iaitu dipercayai tidak mempunyai Surat Kebenaran dari Perwakilan Malaysia di negara yang berlaku kematian,” katanya. Katanya lagi, tempoh jenazah arwah yang dibawa pulang tersebut sangat cepat berbanding beberapa hari yang diperlukan pada kebiasaan kerana perlu melalui beberapa prosedur di Thailand. Sementara itu Mohd Faisal berkata, laporan tersebut dibuat bagi mendapatkan keadilan terhadap kematian Allahyarham. “Keluarga sememangnya bersyukur apabila jenazah dapat dibawa pulang awal, namun kami mengesyaki berlaku salah guna kuasa atau unsur rasuah dalam urusan penghantarannya. “Laporan baru dibuat sekarang kerana kekangan keadaan Covid-19 dalam negara dan kami keluarga memohon pihak berkuasa menyiasat perkara ini,” katanya. Dalam kejadian tragis yang berlaku tiga tahun lalu, Faziani Rohban Ahmad meninggal dunia pada usia 40 tahun manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim pula cedera apabila kenderaan Toyota Estima dinaiki mereka terlibat kemalangan di Pattani, Thailand pada pukul 10.30 pagi. Pada Khamis lalu, keluarga tersebut juga membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Allahyarham yang mendakwa dicurigai. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI