suria

Lelaki tergamak kelar leher anak dan isteri, lari naik motor dalam keadaan bogel

Suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sejurus kejadian berkenaan.

TRAGIS.

Begitulah gambarannya mengenai seorang wanita dan bayinya yang ditemui berlumuran darah dan tidak bernyawa di Kampung Bakar Satu, Johor Bahru pada Isnin.

Menurut Rosman Ahmad, 58, dia terkedu melihat anak serta cucunya dalam keadaan tidak bernyawa, dipercayai dikelar leher oleh menantunya sendiri.

Memetik laporan Harian Metro, Rosman menerima panggilan daripada anak sulungya, memaklumkan berlaku pertelingkahan di rumah anak ketiganya, Hajar Nursyahirin, 26, sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.

"Apabila saya sampai, anak pertama dan kedua sudah ada di sini (rumah keluarga suspek), saya lihat anak perempuan saya terbaring depan pintu rumah dengan luka di leher macam dikelar.

"Cucu lelaki saya, juga terdapat luka di leher, ketika itu ada jururawat sedang mengendongnya. Tetapi, saya difahamkan cucu saya ditemui di sisi ibunya," katanya.

Hajar Nursyahirin dan anak tunggalnya, Hans Mohd Thakif Amir berusia kira-kira dua bulan, ditemukan sudah meninggal dunia, dipercayai dikelar suaminya, Amir Adam, 25.

Dalam pada itu, suspek dilaporkan melarikan diri dengan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sejurus kejadian berkenaan.

1rosma

Rosman terkedu melihat anak dan cucunya yang sudah tidak bernyawa. Foto: Izz Laily Hussein.

Malah, satu rakaman memaparkan dia sedang menunggang motosikal di jalan raya tanpa seurat benang turut tular dan mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Menurut Rosman, mangsa dan suspek sepatutnya bersanding pada 24 Julai ini selepas majlis mereka tertunda ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Anak saya dan menantu memang anak yang baik. Mereka tiada masalah. Saya tidak pernah dengar mereka bergaduh.

"Cuma akhir-akhir ini, saya tahu menantu saya tiada pekerjaan tetap selepas berhenti kerja beberapa bulan lalu. Mungkin dia ada masalah tempat kerja.

"Dulu dia ada buat kerja pembersihan di stadium, lepas itu dia berhenti kerja. Kemudian saya dapat tahu dia hanya kerja sambilan mencuci kapal di Pasir Gudang dan bantu kerja-kerja penyediaan makanan," katanya yang memaklumkan menantunya bukan seorang yang panas baran.

Ibu kepada mangsa, Norazlina Hamdan, 50, reda dengan kejadian yang menimpa, malah tidak menyangka hayat anak perempuannya akan berakhir dengan tragis.

"Anak saya kalau ada masalah banyak cerita dengan adik-beradik dia sahaja, tetapi tidak ada pula dia mengadu ada masalah kewangan.

"Jadi saya tidak sangka perkara ini boleh berlaku kerana sudah kenal menantu lama dan mereka baik," katanya.

Jenazah kedua-dua mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini pada Selasa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain