FOTO seorang lelaki sado yang sedang menjual durian di sebuah gerai di Kepong, Selangor mengundang pelbagai reaksi di media sosial. Lelaki tidak berbaju dalam foto berkenaan merupakan Ashton Koh Jia You, 19, yang menjalankan perniagaan dengan rakan kongsinya Jake Ng. Di gerai itu, mereka menawarkan durian Musang King dan D24 yang diperoleh dari Bentong, Pahang. Walaupun baru dibuka lebih dua minggu lalu, gerai tersebut menjadi sebutan ramai apabila foto Koh yang tidak berbaju ketika mempromosikan buah durian dikongsi ke media sosial. “Saya dan rakan niaga saya (Ng) berbincang mengenai idea menjual durian selama beberapa bulan sebelum ini dan memutuskan untuk terjun pada pertengahan Jun selepas banyak perancangan. “Sepanjang fasa perancangan, kami terjumpa idea untuk meminta saya bergambar tanpa baju dengan durian sebagai sebahagian daripada gimik pemasaran produk kami,” kata Koh yang sudah empat tahun terlibat dalam dunia angkat berat. Sambutan terhadap posting itu cukup mengejutkan Koh, malah ia menerima reaksi lebih daripada jangkaan mereka berdua. Koh menjalankan perniagaan itu dengan rakan kongsinya. (Gambar Hiasan) “Kami tidak menjangka posting kami mendapat perhatian ramai dalam tempoh masa yang singkat kerana kami tidak membuat sebarang iklan tajaan untuknya juga. “Berikutan posting itu, kami juga menerima semakin banyak pertanyaan dan pesanan,” katanya. Tambah Koh, ramai juga yang datang mengunjungi gerainya selepas melihat posting di media sosial yang memaparkan dia sedang bergambar dengan pelanggannya. Koh berkata ibu bapanya menyokong idea untuk berniaga durian, malah saudara mara jejaka itu turut hadir untuk menunjukkan sokongan mereka. "Semua ahli keluarga saya telah menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk inisiatif ini," kata Koh, sambil menambah bahawa matlamat utamanya adalah untuk memperoleh pendapatan dan menimba pengalaman kerja. Koh, yang akan memulakan kursus kejuruteraan perisian di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), mengakui bukan mudah untuk menyesuaikan antara pengajian dan perniagaan. "Untuk itu, kami akan beroperasi hanya dari Jumaat hingga Ahad, supaya saya dapat beri tumpuan yang mencukupi terhadap pengajian dan perniagaan," katanya. - The Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI