POLIS menahan teman lelaki seorang wanita yang baru-baru ini mendapat kritikan berhubung persembahan komedi yang didakwa menghina Islam. Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata teman lelaki wanita itu ditahan pada Ahad oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. ARTIKEL BERKAITAN: Pelawak wanita didakwa hina Islam sudah ditahan, kini direman tiga hari bantu siasatan Suspek kini direman selama tiga hari sehingga Rabu. Noorsiah juga berkata polis telah memohon untuk melanjutkan perintah reman ke atas wanita itu, yang berakhir Selasa. “Kertas siasatan akan segera dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan cadangan pertuduhan,” katanya pada Isnin. Wanita itu pada mulanya direman selama tiga hari di ibu pejabat polis Brickfields bermula Sabtu. Dia sedang disiasat di mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni. Kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menjalankan siasatan awal sendiri berhubung video tular wanita itu yang didakwa menghina agama Islam di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail berkata siasatan dijalankan oleh bahagian penguatkuasaannya. Pada Sabtu, video berdurasi 54 saat tular di media sosial, menunjukkan wanita itu mendakwa menghafaz 15 juzúk al-Quran sebelum membuka pakaiannya. Berikutan kritikan, dia dan pasangannya muncul di YouTube pada hari Sabtu untuk berinteraksi dengan pengguna media sosial. Pada Ahad Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan penggantungan sementara kelab komedi itu sementara menunggu siasatan ke atas lesen premis itu. - The Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI