SEIRING dengan usaha menuju ke arah mengawal selia kandungan digital pada masa depan, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) mengumumkan kejayaan pendaftaran Kod Kandungan 2022. Kod tersebut bertujuan untuk menjana landskap kandungan yang lebih teguh di Malaysia di mana kebebasan bersuara dan kandungan berhemah dapat dipupuk bersama dengan berkesan. Mula ditubuhkan pada 2004, Kod Kandungan menggariskan amalan terbaik dan piawaian etika untuk penciptaan dan penyusunan kandungan, yang disediakan oleh CMCF, di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Tahun lalu, CMCF memulakan misi untuk merombak keseluruhan Kod Kandungan bagi memastikan ia kekal sejajar dengan amalan terbaik di peringkat global. Inisiatif ini termasuk rundingan awam yang dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara dari September hingga Disember 2021 "Kami sangat gembira kerana Kod Kandungan ini terhasil daripada sumbangan semua orang, dan bukan hanya ahli kami atau pihak industri kerana hari ini, semua orang adalah pengguna kandungan termasuklah pencipta kandungan. "Ia membolehkan kami menangani jurang pelbagai dasar, yang mungkin tidak terfikir oleh kami, jika tidak kerana maklum balas cemerlang yang diterima daripada orang ramai. "Di CMCF, kami percaya bahawa penggubalan dasar dalam industri kandungan mendapat manfaat besar daripada perundingan dan sumbangan daripada semua ahli masyarakat. "Maklum balas daripada orang ramai membantu CMCF untuk mengenal pasti beberapa isu baharu yang perlu diketengahkan. "Ini termasuk keperluan untuk meningkatkan kebolehcapaian kandungan untuk orang kelainan upaya (OKU), bagi mengekang penyalahgunaan agama dalam pengiklanan dan memastikan pempengaruh (influencer) mematuhi piawaian yang sama seperti pengiklan yang lain," kata Pengarah Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood. Pengarah Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood. Kod Kandungan 2022 yang telah dirombak ini telah menerima pujian daripada pengamal industri, wakil media dan industri pengiklanan secara keseluruhan. Ia meliputi semakan piawaian dan amalan terbaik yang berkaitan dengan kandungan elektronik, terutama berkaitan pengiklanan, serta implikasi yang lebih luas untuk pelbagai lapisan masyarakat. Sementara itu, Pengerusi CMCF, Kenny Ong berkata, Kod Kandungan yang dikemaskini ini adalah sangat tepat pada masanya kerana semua pencipta kandungan akan mendapat manfaat yang besar daripada mengawal selia kendiri kandungan mereka menggunakan Kod Kandungan 2022 sebagai garis panduan. “Selain menyediakan rujukan yang lebih besar dan lebih komprehensif untuk semua orang dalam ekosistem kandungan untuk mengamalkan kawal selia kendiri, lapan tumpuan utama dalam Kod Kandungan 2022 ini mencerminkan peredaran masa, sambil menekankan kepentingan untuk menegakkan hak, keselamatan dan kebajikan pelbagai segmen masyarakat dan pihak berkepentingan termasuk wanita, kanak-kanak, pengguna dan OKU. "Industri kandungan di Malaysia terus berkembang pesat, kini menjadi satu ekosistem kandungan yang besar. Pihak kami berterima kasih kepada semua orang kerana mengambil bahagian dalam rombakan Kod Kandungan. "Ini membuktikan bahawa dengan penglibatan orang ramai, kami sememangnya boleh menghasilkan Kod Kandungan yang mengimbangi kreativiti, inovasi dan pertumbuhan industri yang sihat sambil sambil menyelaraskannya dengan budaya, keharmonian dan nilai Malaysia," kata Kenny. Pengerusi CMCF, Kenny Ong. Dalam pada itu, SKMM memuji usaha dan inisiatif Forum Kandungan dalam melaksanakan peranannya sebagai organisasi kawal selia kendiri dan forum industri yang ditetapkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98). "Kami mengiktiraf komitmen Forum Kandungan untuk melibatkan diri dalam dialog berterusan dan bermakna dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan. "Kami percaya inisiatif ini memastikan Kod Kandungan kekal bukan sahaja relevan, tetapi juga progresif. Ini juga selaras dengan visi SKMM yang lebih besar untuk mewujudkan industri yang berdaya saing, cekap dan lebih cenderung untuk mengamalkan kawal selia kendiri agar sentiasa berada di hadapan perubahan zaman. "Kami berharap terdapat kesedaran yang lebih tinggi tentang kawal selia kendiri melalui Kod Kandungan kerana ia juga digunakan sebagai rujukan untuk tafsiran kesalahan di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 AKM98," menurut SKMM. AKM98 merujuk kepada kandungan yang ‘tidak senonoh, lucah, palsu, mengancam atau menyinggung perwatakan’, dan Kod Kandungan memberikan pemahaman yang lebih baik tentang maksud unsur-unsur ini. Contohnya, di bawah Kod Kandungan 2022, perkongsian berita yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika berkaitan bunuh diri akan dianggap sebagai ‘mengancam’ kerana ia menimbulkan risiko penularan bunuh diri. Sifat progresif Kod Kandungan baharu dicerminkan dalam beberapa peruntukan baharu, contohnya, penggunaan pempengaruh maya. Peruntukan baharu telah diperkenalkan, yang memerlukan penggunaan pempengaruh maya didedahkan kepada pengguna untuk memastikan mereka tidak terpedaya untuk mempercayai bahawa mereka berinteraksi dengan individu sebenar. Kod Kandungan 2022 telah didaftarkan secara rasmi dan berkuat kuasa pada 9 Jun, boleh didapati di sini. Untuk maklumat lanjut tentang Forum Kandungan dan Kod Kandungan, layari https://contentforum.my/. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI