suria

Darjah kebesaran Najib, Rosmah batal, ditarik balik - Sultan Selangor

Sultan Selangor menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor daripada Najib dan Rosmah.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menarik balik dan membatalkan darjah kebesaran negeri Selangor daripada Datuk Seri Najib Razak.

Darjah kebesaran bagi isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut ditarik balik dan dibatalkan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, penarikan balik dan pembatalan darjah kebesaran itu berkuat kuasa pada 12 September 2022, selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara XXXVII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Selangor.

"Datuk Seri Najib Razak telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato' Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato' pada 1992.

"Beliau didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd," katanya dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah projek solar: Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta

Beliau berkata, pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato' Seri dan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato' adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," katanya.

Najib Razak dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato' Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato' pada 1992.

Sementara itu, Haris berkata, Rosmah dikurniakan Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada 2005.

Beliau berkata, Rosmah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

"Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," katanya.

Beliau berkata, penarikan balik dan pembatalan keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

Selain Najib dan Rosmah, turut ditarik balik darjah kebesaran adalah bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Lain