KEMASKINI JURUTERBANG helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), pada Ahad, ditemui maut di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri. Mohd Yusri berkata, mangsa telah dikenal pasti sebagai Tzs Kin Richard Chan, berusia 58 tahun, yang merupakan warganegara Hong Kong. "Pasukan misi mencari dan menyelamat (SAR) menemui helikopter dan juruterbang kira-kira pukul 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus, Bidor. "Helikopter itu terhempas ke tanah dan juruterbang ditemukan di dalam kokpit. "Berdasarkan siasatan awal, kami tidak menemui sebarang kesan letupan di lokasi,"katanya dalam sidang media di Balai Polis Bidor pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter hilang: Operasi mencari, menyelamat dilaksanakan - Wee Ka Siong Mohd Yusri berkata polis telah memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga juruterbang berkenaan. "Mayat dibawa ke SMK Anderson, Ipoh, menggunakan helikopter dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat pada 10.20 pagi. "Kami sedang mengawal lokasi nahas bagi mengelak sebarang pencerobohan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menjalankan siasatan lanjut," katanya. Misi SAR sebelum itu bermula sekitar pukul 7.30 pagi dalam lingkungan 5 kilometer (km) radius tempat terakhir helikopter itu dikesan. Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi Facebook berkata, beliau dimaklumkan oleh CAAM bahawa juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan (KLATCC) semalam ditemui selamat di lokasi nahas sekitar Bidor pukul 8.20 pagi tadi. Pada Ahad, helikopter berkenaan dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada pukul 12.16 tengah hari dan terdapat seorang juruterbang di dalamnya. Helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada 11.37 pagi untuk penerbangan peribadi dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari. Helikopter tersebut adalah model Eurocopter EC120B yang dikendalikan oleh Heli Outpost Sdn Bhd. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI