suria

Matrade jalin kerjasama strategik bantu PKS kembang perniagaan ke peringkat global

Matrade menjalinkan kerjasama strategik untuk memperkasakan syarikat tempatan.

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjalinkan kerjasama dengan persatuan perdagangan dan industri, termasuk dewan dan majlis perniagaan untuk memperkasakan serta memacu syarikat tempatan ke hadapan dalam sektor eksport.

Langkah ini seterusnya membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menambah baik operasi peniagaan termasuk aspek logistik, seterusnya mempercepatkan proses menembusi pasaran baharu.

Ini selaras dengan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (RTPN) yang ditauliahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan dibangunkan oleh Matrade pada 2021.

Kerjasama ini saling memanfaatan kelebihan dan kekuatan organisasi terlibat dalam mencapai matlamat yang menguntungkan semua pihak.

Persatuan perdagangan khususnya memainkan peranan penting sebagai saluran komunikasi antara sektor kerajaan dan swasta serta bertindak sebagai wakil daripada industri.

Mereka juga pakar bidang khusus, di mana ahli-ahli kebanyakannya terdiri daripada pemain industri yang terlibat secara langsung dengan pasaran.

Selain itu, persatuan perdagangan juga memiliki pangkalan data berharga, berkaitan pemain dalam rantaian nilai industri mereka.

Matrade bekerjasama dengan persatuan perdagangan tempatan dan asing, bagi bertukar-tukar maklumat mengenai cabaran perniagaan, pengetahuan industri, kepakaran dan keupayaan ahli persatuan, serta kelestarian dalam perdagangan.

Perbadanan itu berkongsi informasi berkaitan peluang pasaran dalam pelbagai sektor, dan mengatur pertemuan perniagaan antara ahli-ahli persatuan dan pembeli asing berdasarkan petunjuk perdagangan yang di terima dari 46 pejabatnya di luar negara.

Matrade membantu mengembangkan syarikat tempatan ke peringkat global.

Matrade membantu mengembangkan syarikat tempatan ke peringkat global.

Matrade menganjurkan gerai promosi dalam pameran antarabangsa di luar negara, iaitu di Jepun (Ekspo Kenten bagi bahan binaan) dan Afrika (Ekspo Halal Abuja bagi produk dan perkhidmatan halal) atas jemputan oleh persatuan perdagangan negara masing-masing.

Matrade juga menganjurkan webinar bagi berkongsi maklumat berkaitan peluang pasaran sektor bernilai tinggi seperti francais, minyak dan gas serta perabot di Bhutan, Uganda, Afrika Selatan, United Kingdom, Hungary, Turki dan Bulgaria.

Selain itu, trend global serta maklumat pasaran terkini seperti kelestarian turut dikongsi bersama ahli persatuan.

Matrade memainkan peranan penting dalam penganjuran Misi Akselerasi Eksport (EAM) secara maya dan fizikal dalam sektor dan pasaran terpilih.

Misi perdagangan dan pelaburan juga dianjurkan di luar negara, di mana Matrade menjalin kerjasama dengan dewan perniagaan tempatan di negara tuan rumah untuk mengatur pertemuan meja bulat dan antara syarikat Malaysia dan pembeli berpotensi.

Justeru, kerjasama dengan Lima Chamber of Commerce (CCL) diwujudkan dalam misi ke Peru baru-baru ini.

Matrade menyediakan platform bagi membantu ahlinya mendapat lebih banyak pendedahan dengan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di Pusat Pameran Eksport Malaysia (MEEC), iaitu pusat pameran khusus untuk pelawat asing mendapatkan produk dan perkhidmatan dari Malaysia.

Matrade baru-baru ini melancarkan inisiatif baharu, Empower Trade Associations (ETA) yang memperkasa persatuan perdagangan dalam menganjurkan aktiviti promosi eksport untuk ahli mereka di samping memanfaatkan risikan pasaran dan keberadaan Matrade di luar negara.

Melalui ETA, promosi sektor berteknologi dan bernilai tinggi serta mampan akan dipergiatkan bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia menyertai rantaian nilai global, selain meneroka pasaran baharu.

Rangkaian yang meluas antara persatuan perdagangan di Malaysia dan luar negara juga akan meningkatkan hubungan dua hala atau serantau antara Malaysia dan rakan perdagangan lain.

Pada tahun pertama, 21 aktiviti promosi eksport oleh 13 persatuan perdagangan akan mendapat manfaat daripada program ini.

Ia meliputi pelbagai sektor yang disasarkan seperti aeroangkasa, farmaseutikal dan peranti perubatan, perkhidmatan pembinaan, minyak dan gas serta elektrik dan elektronik.

Program-program ini akan menyediakan akses kepada pasaran baharu seperti Mongolia, Brazil, Afrika dan Eropah tengah serta negara rakan FTA termasuk negara-negara Asean dan Australia.

Oleh itu, Matrade mengalu-alukan lebih banyak kerjasama strategik untuk mengembangkan dan meningkatkan eksport dalam pelbagai sektor dan pasaran.

Kerjasama tersebut akan membuahkan hasil yang terbaik bagi kedua-dua pihak dan memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi penyumberan pilihan.

Justeru, Matrade menyeru persatuan perdagangan dan syarikat Malaysia yang mengeksport atau ingin menceburi pasaran eksport supaya berdaftar dengan perbadanan bagi menikmati pelbagai peluang yang ditawarkan untuk ke peringkat global.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain