CADANGAN mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semasa musim tengkujuh adalah tidak sesuai kerana kekangan logistik dan kesihatan, kata Khairy Jamaluddin. Menteri Kesihatan berkata kerajaan lazimnya akan memilih untuk mengelak daripada mengadakan pilihan raya apabila negara dijangka menghadapi isu banjir. "Pada musim tengkujuh, banyak sumber manusia diperlukan. Mereka perlu digerakkan untuk memindahkan mangsa banjir, serta menguruskan pusat pemindahan. "Selain itu, banyak sekolah akan digunakan sebagai pusat pemindahan, jadi ini akan menjadi sukar jika pilihan raya diadakan pada musim banjir, kerana sekolah juga digunakan sebagai pusat mengundi. ARTIKEL BERKAITAN: “PRU15 sikit lagi... tak lama lagi” - PM "Dari segi kesihatan, banjir akan meningkatkan penularan penyakit bawaan air. "Bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sudah tentu kita rasa tidak sesuai jika pilihan raya diadakan pada musim banjir," kata Khairy pada Rabu. Ketika ditanya sama ada KKM menyuarakan kebimbangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khairy berkata ia adalah sesuatu yang perlu difahami dengan baik. "PM sedar dan memahami perkara ini, walaupun kita tidak menyuarakannya kepadanya," kata Khairy. Spekulasi bertiup kencang bahawa PRU15 akan diadakan sekitar November tahun ini. Secara amnya, musim tengkujuh akan melanda Malaysia antara November hingga Februari. Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan bermula November yang berpotensi mengakibatkan banjir besar. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI