SEORANG kerani wanita berusia 46 tahun rebah dan meninggal dunia di sebelah kubur arwah adiknya di tanah perkuburan Islam di Lubok China, Alor Gajah, Melaka, pada Ahad. Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, mangsa dikenali sebagai Suhaidzra Abd Zahar, bekerja di sebuah firma guaman di Seremban, Negeri Sembilan. Menurut Arshad, mangsa kerap menziarahi kubur adik lelakinya yang meninggal dunia November tahun lalu. "Mangsa sangat menyayangi adiknya dan sering memandu dari rumahnya di Seremban Dua ke Lubok China untuk menziarahi kubur arwah. "Saksi memberitahu mangsa rebah secara tiba-tiba di sebelah kubur adiknya pada pukul 10.45 pagi," katanya. Arshad berkata, mangsa merupakan anak ketiga daripada sembilan beradik dan masih bujang. Beliau berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut, sehingga hasil laporan bedah siasat diterima dari Hospital Alor Gajah. Arshad menambah, laporan awal hospital menunjukkan mangsa mengalami serangan jantung. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI