suria

Pemimpin Abu Sayyaf dalangi kes culik Sabah, Indang Susukan terbunuh di kem tentera Filipina

Indang Susukan merupakan dalang bagi beberapa kes culik di Sabah.

PEMIMPIN Abu Sayyaf, Indang Susukan, yang mendalangi sekurang-kurangnya enam penculikan di Sabah, dilaporkan terbunuh dalam satu insiden huru-hara di kem tentera di Zamboanga City, Filipina.

Indang dan dua lagi rakan yang ditempatkan di dalam sel, Arnel Cabintoy dan Feliciano Sulayao, terbunuh kira-kira pukul 6.20 pagi Ahad (9 Oktober), menurut sumber risikan serantau.

Sumber berkata, dua pegawai yang bertugas di kem tersebut, Agustine Roger dan Lorenz Matias, ditikam oleh ketiga-tiga penjenayah tersebut ketika memasuki sel mereka untuk menghidangkan sarapan pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Orang Dalam' Disyaki Dalang Kes Culik Di Sandakan

Apabila melihat kekecohan berlaku, seorang pegawai yang mengawal menara melepaskan tembakan ke arah ketiga-tiga penjenayah, kata sumber.

Indang adalah antara pemimpin utama Abu Sayyaf yang berpangkalan di Jolo, bertanggungjawab menghantar lelaki bersenjata Filipina untuk melakukan penculikan di pantai timur Sabah.

Sumber serantau berkata dia bertanggungjawab ke atas penculikan dan menyembunyikan mangsa di tempat persembunyiannya di Jolo, di mana rundingan dilakukan untuk pembebasan mereka.

Antara kes culik yang didalangi oleh Indang ialah penculikan pengurus restoran Ocean King di Sandakan, Thien Nyuk Fun dan pelancong Sarawak, Bernard Then pada 14 Mei 2015.

Thien dibebaskan selepas rundingan pada 8 November, tahun yang sama tetapi kumpulan Abu Sayyaf memenggal kepala Then pada 17 November selepas rundingan gagal.

Indang, yang kehilangan sebelah tangan semasa pertempuran dengan tentera Filipina dua tahun lalu, telah menyerah diri di bawah pengampunan oleh Manila pada 2020 dan sejak itu telah ditahan di Zamboanga City. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain