suria

Peka masalah rakyat, PM umum kadar tol 4 lebuh raya turun mulai 20 Oktober

Kadar tol empat lebuh raya turun bermula 20 Oktober, manakala dua lagi lebuh raya berkuatkuasa Januari tahun depan.

KERAJAAN bersetuju menurunkan kadar tol bagi enam lebuh raya di Lembah Klang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Bagi menunjukkan keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi rakyat akibat kenaikan kos sara hidup, kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi di bawah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan mengurangkan tol.

“Lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Penyuraian Kajang (SILK) yang akan berkuat kuasa pada 12.01 pagi 20 Oktober ini," kata Perdana Menteri ketika merasmikan lebuh raya Damansara-Shah Alam (DASH) pada Khamis.

Langkah penstrukturan semula itu akan menyaksikan kerajaan menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi terbabit, katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Cepat dan mudah... Pengguna boleh bayar tol tanpa palang menjelang 2025

Dua lagi tol iaitu Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) di bawah IJM Corporation Bhd akan dikurangkan pada 1 Januari 2023.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata lebuh raya DASH merupakan laluan alternatif pengguna jalan raya dari Shah Alam dari arah barat ke Kuala Lumpur dari arah timur.

"Ia akan mengurangkan kesesakan lalu lintas, masa perjalanan dan aliran trafik dengan lebih berkesan di kawasan antara dua bandar itu.

"Ia dijangka membantu melancarkan trafik di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sebanyak 40 peratus yang menjimatkan sehingga 30 minit berbanding satu setengah jam pada waktu puncak,” katanya. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain